Hiburan

Mahligai impian RM200,000 Ebby Yus lenyap dihanyutkan air deras

LENYAP dalam sekelip mata. Itulah yang berlaku ke atas rumah pelawak, Ebby Yus yang dikatakan sudah siap 90% selepas dihanyutkan air deras dalam banjir yang melanda Kuala Langat, semalam.

Rumah bernilai RM200,000 itu dianggap oleh Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid sebagai mahligai impian beliau, dibina dari hasil titik peluh lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni.

Menceritakan insiden yang berlaku, Ebby berkata, dia bersama pembantu peribadi pergi melihat kerja-kerja akhir pembinaan rumah dua tingkat itu termasuk proses memasang kertas hiasan dinding pada sebelah tengah hari semalam.

Tanpa disangka, kata Ebby, musibah datang hingga habis rumah yang dibina menggunakan separuh batu dan separuh lagi kayu, lenyap dalam kejadian banjir.

“Inilah rumah impian saya sejak lebih 30 tahun berkecimpung dalam dunia seni… Saya akur dengan ketentuan ini,” katanya kepada Berita Harian.

Ebby berkata, kerja-kerja pembinaan rumah itu dilakukan sedikit demi sedikit dan kerap terhenti kerana dia jatuh sakit, selain sekatan akibat penularan pandemik Covid-19.

“Setiap kali dapat bayaran berlakon, saya peruntukan untuk rumah itu. Kali terakhir selepas dapat bayaran daripada penerbit sitkom Jenaka Kampung Kalut, saya lunaskan baki bayaran projek pembinaan rumah itu.

“Sebelum ini, projek pembinaan bertukar kontraktor kerana masalah yang tidak terduga. Biasalah, kerja bina rumah semuanya perlukan wang,” katanya.

Ebby yang berasal dari Negeri Sembilan memberitahu bahawa dia menyewa rumah di Kampung Baru, Kuala Lumpur sejak 20 tahun lalu.

Sabar dan bertabahlah wahai Ebby Yus dengan dugaan Allah. Mungkin ada rezeki yang lebih baik untuk Ebby Yus di masa akan datang. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button