Mahkamah tolak permohonan pekebun haram durian di Raub
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman, terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang.
Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu dalam prosiding dengan hanya pihak berkenaan dibenarkan masuk ke dalam mahkamah, difahamkan atas faktor penjarakan sosial dan peguam Siew Choon Jern yang mewakili semua plaintif, memaklumkan keputusan itu kepada media selepas prosiding tamat.
Choon Jern berkata, mahkamah memberikan dua alasan dalam menolak permohonan plaintif, iaitu pekebun tidak seharusnya membuat permohonan kebenaran semakan kehakiman kerana notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah, bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.
“Selain itu, mahkamah juga mendapati pekebun ialah penceroboh (di tanah berkenaan). Sebagai pihak yang menceroboh, mereka tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman ini,” katanya.
Choon Jern berkata mahkamah juga memutuskan supaya plaintif menjelaskan kos sebanyak RM10,000 kepada Jabatan Peguam Negara.
Ditanya jika plaintif akan mengemuka rayuan terhadap keputusan mahkamah atau membuat rayuan kepada pentadbir tanah yang mengeluarkan notis pengosongan itu, Choon Jern berkata, pihaknya akan berbincang terlebih dahulu dengan pekebun.
“Kita akan berbincang apakah tindakan yang efisien dan lebih baik supaya penyelesaian terbaik dapat diambil supaya kepentingan pekebun tidak terjejas. Rayuan satu cadangan yang akan dibincangkan.
“Saya berpendapat memandangkan kami sudah sampai ke tahap ini, jika kami membuat rayuan, ia adalah terhadap keputusan mahkamah hari ini, berbanding merayu terhadap notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965,” katanya.
Pekebun itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang ditanam pokok durian Musang King di sekitar Raub, kira-kira 170 kilometer dari sini, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau yang dianggarkan seluas 2,167 hektar.
Sebanyak 110 pekebun memfailkan permohonan itu pada 28 Ogos lalu, manakala bakinya membuat permohonan serupa pada 9 September dengan menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.
Pada prosiding itu, semua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Noor Fadzila Ishak.
Selain untuk menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984, mereka juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun itu kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.
Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd. – BERNAMA