Nasional

Kerajaan digesa promosikan pelancongan tempatan sepenuhnya

DI sebalik pelancaran Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020 – 2030, terdapat suara menggesa kerajaan menyokong promosi pelancongan tempatan sepenuhnya.

Promosi pelancongan tempatan bukanlah semata-mata memperkenalkan tarikan-tarikan lokasi dalam negara sebaliknya membantu usahawan tempatan dalam memanfaatkan kemudahan disediakan mereka.

Oleh demikian, kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Motac) ditegur kerana menggunakan platform luar bagi mempromosikan pelancongan dalam negara.

Hal tersebut tidak sepatutnya berlaku keranan sokongan kepada industri pelancongan 100 peratus tempatan adalah perlu termasuklah agensi penjual pakejnya.

“Menggunakan platform luar untuk mempromosikan produk pelancongan tempatan adalah tidak menepati sasaran pemulihan sektor itu.

“Ini kerana, terdapat pengusaha-pengusaha pelancongan tempatan yang membina platform khas bagi membantu mempromosikan pelancongan dalam negara.

“Penggunaan platform tempatan adalah penting kerana kita dapat menjual pakej pada harga yang lebih murah berbanding menggunakan platform luar negara.”

Demikian kata Pengarah Urusan Kumpulan Pengurusan Sri Sutra Sdn Bhd, Datuk Syed Mohd. Razif Al-Yahya, ketika menghubungi Suara Merdeka baru-baru ini.

SYED RAZIF

Katanya, selain dapat mengelak kos yang berganda apabila menggunakan platform luar, perancangan pemasaran pada masa hadapan juga boleh dibuat berdasarkan data pelancong diperolehi.

“Kebergantungan kepada platform luar menyebabkan banyak kerugian kerana kita tidak memiliki data mengenai pelancongan dalam negara.

“Ia termasuklah trend pelancongan, perbelanjaan dan sebagainya yang boleh dimanfaatkan bagi menyediakan pelan promosi yang lebih tepat pada masa hadapan.

“Bila guna platform luar, kita kena menghadapi kerugian dalam tukaran asing, kerajaan perlu menanggung kerugian akibat kehilangan cukai yang sepatutnya boleh dikutip,” jelasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan DPN bagi menyuntik semula industri pelancongan negara yang merudum akibat penularan wabak Koronavirus (Covid-19).

Terdapat enam teras strategik utama diperkenalkan dalam usaha tersebut seperti melaksanakan transformasi tadbir urus, mewujudkan zon pelaburan pelancongan yang inklusif dan mempergiatkan digitalisasi pelancongan.

Selain itu, kerajaan juga akan memperkayakan pengalaman dan kepuasan pelancong, memperkukuhkan komitmen terhadap pelancongan lestari dan meningkatkan kapasiti modal insan dalam semua sub-sektor pelancongan. – SM

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button