Mahkamah benar Samy Vellu jalani pemeriksaan mental
Permohonan Datuk Seri S Vell Paari supaya bapanya, bekas presiden MIC Tun S Samy Vellu menjalani pemeriksaan tahap kesihatan mental, dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi hari di Kuala Lumpur.
Permohonan itu dibuat oleh Vell Paari dalam kes saman difailkannya terhadap Samy Vellu bagi mengisytiharkan bahawa bapanya tidak mampu menguruskan hal ehwal sendiri.
Hakim Wong Chee Lin membenarkan permohonan Vell Paari selaras dengan Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001, selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam David Mathews yang mewakili Vell Paari kepada pemberita selepas prosiding pendengaran permohonan itu di dalam kamar hari ini, yang turut dihadiri peguam Prem Ramachandran yang bertindak bagi pihak Samy Vellu.
“Mahkamah membenarkan permohonan itu, namun saya tidak boleh mendedahkan butiran lanjut berkenaan penyiasatan tersebut,” katanya.
Meeriam, wanita dakwa isteri Samy
David berkata pada prosiding hari ini juga mahkamah menolak permohonan seorang wanita yang mendakwa isteri kepada Samy Vellu, Meeriam Rosaline Edward Paul, 59, untuk menjadi pencelah dalam kes saman itu selepas mendengar hujahan daripada David dan peguam Ramesh Sivakumar yang mewakili Meeriam.
“Permohonan Meeriam untuk menjadi pihak dalam kes saman itu ditolak oleh mahkamah selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dengan kos RM5,000,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Vell Paari, 58 selaku plaintif memfailkan saman terhadap Samy Vellu pada 2 Dis tahun lepas, memohon perintah mahkamah supaya siasatan dilakukan bagi menentukan keupayaan mental Samy Vellu dan sama ada bekas Menteri Kerja Raya itu berupaya untuk menguruskan diri serta hal ehwalnya.
Saman berkenaan difailkan Vell Paari, selaku plaintif pada 2 Dis tahun lepas di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Samy Vellu, yang berusia 83 tahun, selaku defendan tunggal.
Dalam saman itu, Vell Paari memohon perintah bahawa suatu tarikh, masa dan tempat ditetapkan untuk siasatan diadakan di bawah Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001 ke atas bapanya bagi mengetahui jangka masa bapanya mengalami kecelaruan mental.
Beliau juga memohon perintah mahkamah untuk mengetahui sama ada bapanya berupaya memberi arahan kepada peguam supaya bertindak bagi pihaknya (Samy Vellu) selain untuk menentukan jenis harta yang dimiliki oleh bapanya.
Bekas setiausaha agung MIC itu turut memohon supaya Consultant Neuropsychiatrist dan Ketua Neurobehavioral Medicine Services dari Penang Adventist Hospital, Dr Prem Kumar Chandrasekaran, 52, atau pakar kesihatan mental lain diberikan akses untuk memeriksa bapanya secara peribadi dan menyediakan laporan tentang keupayaan mental defendan.
Katanya, jika defendan didapati mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya menguruskan dirinya serta hal ehwalnya akibat masalah itu, beliau memohon supaya beberapa individu termasuk dirinya (plaintif) dan peguam Datuk C Vijaya Kumar dilantik oleh mahkamah sebagai ahli jawatankuasa untuk menjaga dan menguruskan hal ehwal estet defendan.
Sekiranya mahkamah membenarkan kesemua individu itu dilantik sebagai ahli jawatankuasa, plaintif turut memohon supaya mahkamah menentukan kuasa ahli jawatankuasa tersebut, membuat peruntukan bagi kos dan perbelanjaan jawatankuasa serta membuat peruntukan bagi saraan jawatankuasa tersebut.
Vell Paari juga memohon perintah supaya beliau dilantik sebagai wakil litigasi defendan dalam mana-mana prosiding undang-undang membabitkan bapanya, harta atau kepentingannya.
Plaintif berkata sejak 2017 beliau telah membantu bapanya untuk menguruskan hal ehwal dan estetnya dan telah menggunakan dananya sendiri bagi tujuan itu berikutan bapanya tidak dapat mengakses dana dalam akaun perbankan atas faktor kesihatan.– Bernama