Nasional

Kadar pengangguran dalam negara turun 4.7 peratus

SUSULAN tindakan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang kehilangan pekerjaan kerana syarikat yang mula membuat pengurangan pekerja bagi menampung kos operasi syarikat.

Namun, statistik pengganguran menurut Jabatan Perangkaan Malaysia dalam kenyataannya berkata, angka itu bagaimanapun telah menurun kepada 4.7 peratus yang direkodkan pada Julai lalu.

“Bulan Jun mencatatkan angka pengangguran sebanyak 773 ribu orang manakala pada Julai pula sebanyak 745 ribu orang.

“Bagaimanapun jumlah perbezaan pengangguran mengikut tahun dalam tempoh bulan yang sama mencatatkan kenaikan iaitu sebanyak 745 ribu orang daripada 524 ribu orang pada Julai tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, jumlah penduduk bekerja terus meningkat sebanyak 0.7 peratus pada Julai lalu berbanding 0.6 peratus pada Jun.

Jelasnya, setelah tiga bulan berturut-turut mencatatkan bilangan penduduk bekerja di bawah 15 juta, bilangan penduduk bekerja meningkat kepada 15.07 juta orang.

“Nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat kepada 64.9 peratus pada Julai 2020 daripada 64.7 peratus pada bulan sebelumnya, menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan.

“Kebanyakan sektor ekonomi mencatatkan peningkatan pekerja sejak Jun 2020 setelah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuatkuasa. Peningkatan ketara adalah dalam sektor perkhidmatan terutamanya aktiviti penginapan, makanan, minuman, pengangkutan dan penyimpanan. Terdapat juga peningkatan kecil dalam aktiviti seni, hiburan dan rekreasi,” katanya.

Ujarnya lagi, setelah kebenaran untuk beroperasi diperluas kepada lebih banyak sektor termasuk aktiviti pelancongan, pendidikan, hiburan dan rekreasi, jumlah tenaga meningkat 55.0 ribu orang kepada 15.82 juta orang berbanding Jun 2020.

Katanya lagi, ekonomi Malaysia menunjukkan tanda pemulihan secara beransur-ansur dalam beberapa bulan akan datang, melainkan terdapat lonjakan dalam bilangan kes COVID-19

“Pembukaan semula aktiviti ekonomi secara berterusan ditambah dengan peningkatan aktiviti perjalanan, menyebabkan peningkatan dalam permintaan domestik dan seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” jelasnya.

Tambahnya, model-model perniagaan turut mengalami perubahan seterusnya menyebabkan perubahan dalam trend pekerjaan.

Inisiatif kerajaan berkenaan pelaburan strategik akan menjadi pemangkin inovasi bagi menggalakkan penggunaan teknologi dalam perniagaan merentas sektor.

“Peruntukan RM25 juta kepada Global Online Workforce (GLOW) Program yang bertujuan memberi latihan bagi menjana pendapatan melalui platform dalam talian,” ujarnya.

Tambahnya, inisiatif kerajaan bagi program latihan semula, peningkatan kemahiran dan silang kemahiran yang disediakan oleh pelbagai agensi akan memberi impak positif melalui penyediaan tenaga kerja masa depan dengan kemahiran yang diperlukan. -SM

(Visited 305 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button