Mahdzir, KPLB bela nasib usahawan desa
Firman Allah SWT dalam surah Ar-Rad ayat 11:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka.’’
Peringatan Allah SWT ini seharusnya menjadikan panduan bagi seseorang untuk berjaya dalam kehidupan. Tidak kira di manapun mereka berada sama ada di bandar atau luar bandar, di desa atau kota, selagi mereka sendiri tidak berusaha mengubah nasib mereka, selagi itu mereka tidak akan ke mana.
Begitulah juga penduduk luar bandar atau kalau istilah dulu-dulu ‘orang kampung’. Mereka juga berupaya untuk mencapai kejayaan dan menikmati kesenangan seandainya mereka berusaha.
Tambahan pula, berbanding dahulu penduduk luar bandar tidak mempunyai banyak peluang atau kemudahan untuk memajukan diri. Kehidupan mereka ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Tetapi kini keadaan sudah berubah, penduduk luar bandar seharusnya bersyukur kerana wujudnya kementerian khususnya yang menjaga kebajikan mereka sama ada dari segi insfrastruktur mahupun mencapai kejayaan dalam hidup.
Atas sebab itulah apabila Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berusaha mengubah nasib penduduk luar bandar dengan membuka ruang kepada mereka terlibat dalam bidang keusahawanan, ia tidak harus dilepaskan begitu sahaja.
Sesuatu yang membanggakan apabila di bawah KPLB yang diterajui oleh Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kini terdapat lebih 64,000 usahawan desa berjaya dilahirkan.
Tetapi adakah mereka yang bergelar usahawan itu sudah berpuashati dengan apa yang dicapai? Adakah mereka berasa cukup dengan apa yang nikmati sekarang?
Sepatutnya sikap berasa cepat puas hati tidak wajar wujud dalam kalangan usahawan desa. Tambahan pula KPLB tidak pernah berhenti dalam melaksanakan pelbagai usaha bagi meningkatkan pencapaian golongan itu.
Mahdzir dan KPLB benar-benar mahu memastikan usahawan yang dilahirkan oleh kementerian itu bukan sekadar suam-suam kuku sahaja atau berada sekadar cukup makan, sebaliknya kalau boleh mencapai tahap menjadi jutawan.
Berikutan ledakan dunia digital, KPLB mengambil langkah pantas apabila Mahdzir pada 11 September lalu menyarankan usahawan luar bandar agar melengkapkan diri dengan menguasai kemahiran digital dalam menghadapi persaingan perniagaan yang semakin kompetitif.
Kata beliau, dunia sentiasa mengalami perubahan dan pemacu asas ke arah perubahan adalah tranformasi digital, iaitu penggunaan teknologi digital dalam urusan perkhidmatan atau perniagaan.
“Usahawan digalakkan menghadiri latihan dan program peningkatan kemahiran digital bagi memastikan produk yang dipasarkan dapat menarik perhatian. Malah, beralih kepada pemasaran secara digital kini adalah norma baharu dalam perniagaan.
Memasarkan produk di media sosial sahaja tanpa strategi dan kemahiran mungkin tidak memberi impak yang berkesan. Sebab itu, KPLB menyediakan kursus dan bimbingan digital,’’ kata beliau di Tasek Gelugor.
Sememangnya kemahiran digital amat penting kepada usahawan-usahawan desa untuk memasarkan produk mereka dengan lebih meluas. Pendekatan sekadar meletakkan produk di kedai-kedai untuk dijual tidak mendatangkan hasil yang lumayan.
Sebaliknya melalui pemasaran digital ia akan mampu membantu usahawan desa menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi, malah produk mereka bukan sahaja mampu dipasarkan di dalam negara tetapi juga luar negara.
Apa yang diperkatakan itu bukanlah sekadar mimpi. Sudah berapa ramai usahawan tempatan berjaya memasarkan produk mereka ke luar negara hasil daripada langkah memanfaatkan perkembangan digital.
Usahawan desa juga boleh mencapai kejayaan itu jika mereka berusaha menguasai kemahiran digital apatah lagi Mahdzir dan KPLB bukan sekadar melontar pandangan tetapi juga mengambil langkah membantu mereka dalam soal tersebut.
Ia termasuk memperuntukkan sebanyak RM20 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi mempergiatkan program e-dagang dan pendigitalan usahawan luar bandar di bawah bimbingan KPLB.
Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun berkata, menerusi peruntukan tersebut, KPLB akan memastikan sasaran RMK-12 yang ditetapkan sebelum ini mampu dicapai menerusi usaha berterusan dan kolektif melibatkan agensi-agensi kementerian.
“KPLB menerusi inisiatif yang telah diperkenalkan iaitu Desamall@KPLB diyakini mampu untuk membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui platform e-Dagang dan aplikasi digital,” katanya.
Selain itu pada 22 September lalu, dalam usaha memastikan usahawan desa memasarkan produk mereka secara terancang, KPLB memperkenalkan Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta KPLB (KU1J@KPLB) melibatkan kerjasama dengan Rickworks International Sdn Bhd.
Program berbentuk kejurulatihan dan mentor mentee ini menyasarkan usahawan desa mencapai sasaran jualan tahunan berjumlah RM1 juta yang pertama. Aktiviti ini adalah salah satu daripada beberapa aktiviti sokongan keusahawanan yang telah dirancang di bawah Program Rural Business Challenge 2.0 (RBC 2.0).
Ketika melancarkan program itu, Mahdzir berkata, pada peringkat awal seramai 67 orang usahawan desa telah memohon menyertai program itu. Daripada jumlah itu, seramai 52 orang usahawan desa melepasi saringan awal. Seterusnya tapisan akhir dibuat dan seramai 25 orang usahawan terpilih untuk mengikuti aktiviti bimbingan KU1J@KPLB.
Kesemua peserta akhir yang terpilih akan dibimbing dan diberi tunjuk ajar secara fizikal dan maya selama 12 bulan bagi mencapai jualan tahunan sebanyak RM1 juta dalam tempoh 6 bulan hingga setahun.
Melalui tempoh berkenaan mereka akan didedahkan mengenai pengurusan pemasaran, pematuhan, operasi, kepimpinan, pembangunan perniagaan dan aktiviti mentoring.
Mungkin tidak semua usahawan desa tidak berpeluang untuk menyertai KU1J@KPLB itu tetapi mereka tidak perlu gusar kerana melalui pelbagai agensi di bawah KPLB, pelbagai bantuan seperti geran, pembiayaan, latihan dan pembangunan disediakan bagi memastikan usahawan desa sentiasa berdaya maju.
Oleh itu usahawan desa harus menyahut seruan Mahdzir untuk memajukan perniagaan mereka dengan bersungguh-sungguh. Mereka tidak boleh cepat berputus asa dan berasa kecewa kerana KPLB sentiasa bersama mereka.
Sudah pasti, banyak lagi akan dilakukan oleh Mahdzir dan KPLB dalam usaha membantu usahawan desa mencapai kejayaan. Apa yang penting mereka harus mempunyai tekad dan keazaman untuk mengubah nasib tidak kira dari ceruk rantau manapun mereka datang.
KPLB sudah memberi peluang, membuka jalan dan menghulur bantuan, terserahlah kepada usahawan desa memanfaatkannya untuk mencapai kejayaan. Tidak mustahil, dengan bantuan KPLB, ramai jutawan akan dapat dilahirkan daripada usahawan desa.