Politik

Lompat parti mega sebelum Mei 2020?

Analisis

Sejauh mana benarnya Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin melompat ke Parti Bersatu yang heboh diperkatakan baru-baru ini?

Suara Merdeka tepuk dahi, geleng-geleng kepala ketika disuakan `kesahan’ hal itu daripada sumber yang kononnya rapat dengan Zuraida.

KDN maklumkan Bersatu Selangor, ADUN ditahan polis

Cakap-cakap hal itu lebih kurang sama dengan cerita kononnya ketua angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dari Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman konon dikatakan sempat `terselamat’ dari berada di premis serbuan kes dadah membabitkan seorang ADUN sebelum ini.

Related Articles

Begitupun mahu tak mahu diakui kalau ada pun kes lompat parti dalam tiga atau empat bulan mendatang ini, ia bukan sesuatu yang pelik – berkisar `tempoh peralihan kepimpinan dua tahun PM ke-8 yang dijanjikan’.

Rakyat pilih PKR bukan untuk bercakaran – Dr Wan Azizah

Barangkali elok juga ahli-ahli Parlimen waktu ini belek-belek balik kedudukan parti mereka di ranking mana. Campur tolak kerusi Parlimen itu ini, dapat jumlahnya, sekali lagi mata difokuskan di mana kedudukan kita?

Bercakap pasal betapa berharga kerusi wakil rakyat ini, Suara Merdeka imbas kembali kisah pilihan raya negeri Sabah 1994. Waktu itu Parti Bersatu Sabah (PBS) kembali membentuk kerajaan selepas mendapat majoriti mudah 25 daripada 48 kerusi DUN manakala baki 23 kerusi dikuasai BN.

Bagaimanapun, kerajaan PBS hanya bertahan dua minggu selepas sebahagian besar wakil rakyatnya melompat menyertai BN.

Setelah insiden melompat itu, PBS akhirnya hanya mempunyai tiga wakil rakyat, iaitu Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Datuk Datu Amirkahar Datu Mustapha sekali gus memaksa Pairin melepaskan jawatan Ketua Menteri pada 17 Mac 1994.

Rupanya kisah 1994 tak habis di situ. Lebih dua dekad berlalu, baru tahun 2018 sahaja drama mega lompat parti itu muncul kembali selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pecahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada masa itu adalah BN (29), Solidariti (2), PKR (2), DAP (6) dan Warisan (21). Tan Sri Musa Aman kemudian mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah walaupun kedudukannya tidak selamat.

Dua hari selepas Musa angkat sumpah, enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN umum keluar parti. Mereka menyertai Warisan dan bekerjasama dengan DAP serta PKR untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kemudian dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah menggantikan Musa. Dari situ aktiviti lompat parti berterusan termasuk melibatkan sekumpulan ahli parlimen yang UMNO gelarkan `enam jahanam’.

Dan adakah `debaran lompat parti’ akan mencapai kemuncaknya dalam tiga atau empat bulan mendatang ini. Tahun lepas, sekitar bulan Julai Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara tiba-tiba mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu.

Kalau diandaikan Bersatu mahu membentuk komponennya sendiri, penyertaan semua Ahli Parlimen UMNO (38) andai kata berlaku akan menjadikan Bersatu (26) mempunyai 64 kerusi.

Jika disokong oleh Warisan (9), GPS (19) dan Pas (18), Dr. Mahathir bakal menguasai 110 kerusi dan perlu dua kerusi lagi untuk membentuk kerajaan (112 majoriti mudah). Kerusi itu boleh jadi daripada MIC (1 kerusi), MCA (1) mahupun UPKO (1).

Adakah ini mengundang risiko besar buat kerajaan PH, sekali gus menjadikan kedudukan PKR dan DAP dalam kerajaan goyah. Dan di ambang bahaya, lebih-lebih lagi jika ada ahli Parlimen PKR menyertai Bersatu?

Begitu berharganya sebuah kerusi Parlimen.

Kita tunggu dan lihat…

– SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button