Lima negeri masuki Fasa 2 pemulihan bermula Isnin
Lima negeri akan memasuki fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Isnin ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negeri tersebut adalah Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan tersebut setelah membuat penilaian terperinci dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak serta mendengar keluhan rakyat yang terkesan akibat pandemik ini.
Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan peralihan fasa PPN mengikut pencapaian nilai ambang negeri-negeri.
“PPN ini memberi isyarat yang jelas apa yang telah dirancang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan untuk membawa keluar negara dari
kemelut pandemik ini.
“Tahniah kepada 5 negeri ini yang telah berjaya memasuki Fasa 2 PPN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam Fasa 2 PPN pergerakan rentas daerah dan negeri adalah masih tidak dibenarkan.
Pengecualian akan diberikan untuk pergerakan guru sekolah dan pelajar kelas-kelas peperiksaan.
Pengecualian khas juga akan diberikan kepada pasangan jarak jauh dalam kes-kes kecemasan dan keperluan khas dengan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi Fasa 2, senarai positif bagi sektor yang dibenarkan beroperasi diperluaskan kepada sektor perdagangan dan pengedaran
melibatkan kedai buku dan alat tulis; komputer dan telekomunikasi, barangan eletrik, kedai cuci kereta
dan kedai gunting rambut yang melibatkan perkhidmatan gunting rambut asas sahaja.
Pasar tani dan pasar pagi juga dibenarkan beroperasi dari pukul 7.00 pagi sehingga 11.00 pagi dan jualan diterhadkan kepada 6 komoditi utama iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging.
Walaubagaimanapun, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu
masih tidak dibenarkan dibuka.
Pengusaha-pengusaha sektor yang dibenarkan beroperasi termasuk
pasar tani dan pasar pagi adalah diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.
Di bawah Fasa 2, kapasiti pekerja bagi sektor swasta dalam
perkhidmatan perlu ataupun essential services akan dinaikkan
kepada 80%. Pihak majikan perlu memastikan penjarakan fizikal dan SOP yang ditetapkan dipatuhi setiap masa.
Semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu dan tiada sentuhan fizikal dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri juga dibenarkan.
Ini termasuk aktiviti secara berindividu seperti joging, senaman, taichi, berbasikal, skate boarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis perseorangan, golf, permotoran dan seumpamanya.
Aktiviti keagamaan bagi Fasa 2 adalah tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.-SM