Nasional

Lelaki tular bawa isteri dari kampung ke KL didenda RM1,000

LELAKI yang tular di media sosial selepas memuat naik gambar melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membawa isteri dan anaknya pulang dari Kelantan ke Kuala Lumpur, hari ini didenda RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret S.Mageswary menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Hafiz Bashah, 37, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Mageswary turut menasihati Muhammad Hafiz yang bekerja sendiri supaya mematuhi arahan kerajaan bagi mengekang COVID-19.

“Kerajaan ketatkan PKP untuk menjaga semua orang daripada bahaya… Kamu sedar atau tidak, tindakan kamu ini boleh memudaratkan kesihatan isteri yang baru lepas berpantang dan anak kamu yang masih kecil.

“Kenapa kamu hantar gambar tersebut? Kamu beri pengajaran yang tidak baik kepada semua orang… Kesalahan kamu ini berat, kamu sepatutnya tidak melanggar peraturan itu,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Hafiz didakwa telah bergerak dari Kemensah Height, Ampang, di sini, menuju ke Wakaf Bharu, Kelantan yang merupakan tempat kawasan tempatan jangkitan pada 10.30 pagi, 15 April lepas.

Dia melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Ketika ditanya Mageswary mengapa dia melanggar peraturan itu, lelaki itu berkata dia melakukannya kerana terlalu rindu kepada isteri serta anak-anaknya.

“Isteri saya berpantang di kampung setelah melahirkan anak pada 2 Jan lepas. Ketika itu PKP belum dikuatkuasakan… Oleh kerana terlalu rindu sehingga kemurungan saya terus bergerak ke Kelantan untuk menjemput mereka pulang ke sini.

“Gambar tersebut dimuat naik di dalam ‘group WhatsApp’ saya… ada yang menangkap layar gambar itu dan tularkan di media sosial,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman berat dikenakan kepada  tertuduh.- BERNAMA 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button