Lelaki terjatuh dari tingkat 10 IPD Dang Wangi
Insiden berlaku ketika membuat kerja penyelenggaraan penyaman udara
SEORANG lelaki cedera selepas terjatuh dari tingkat 10 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur ketika melakukan penyelenggaraan penyaman udara.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata, dalam kejadian pukul 6 petang itu, satu bunyi dentuman dari arah luar lobi didengari anggota bertugas di kaunter pertanyaan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati seorang individu terbaring di atas lantai di luar lobi IPD Dang Wangi dengan mengalami kecederaan pada tubuhnya.
Zainal berkata, pihak polis kemudian menghubungi ambulans untuk menghantar mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan.
Tambah beliau, orang ramai diminta tidak menularkan sebarang gambar atau video berkaitan kejadian berkenaan yang boleh mendatangkan kegusaran awam. – SM