Nasionalpilihan

Penghantar makanan dikompaun kerana melepak

GAMBAR tular yang didakwa melibatkan seorang pekerja penghantaran makanan yang baru pulang bekerja dan dikompaun di bawah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Maju adalah kerana berkumpul dan ingkar SOP.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, semakan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

“Sewaktu pemantauan, Team Pematuhan mendapati dua remaja sedang melepak di atas motosikal tanpa menghiraukan kehadiran team terbabit yang sedang membuat pemantauan di kawasan itu.

“Sewaktu disoal oleh pegawai Team Pematuhan, mereka memberikan alasan hanya duduk dan makan roti di parkir itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ashari, pihaknya kemudian mengeluarkan saman kompaun mengikut Peraturan 17, Akta 342 di atas kesalahan lain-lain aktiviti yang tidak dibenarkan iaitu (berkumpul).

Dalam pada itu, Ashari menasihatkan orang ramai untuk bekerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya penularan rantaian Covid-19 dapat diputuskan secepat yang mungkin.

“Tindakan tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang dengan sengaja melanggar SOP dan tidak menjaga penjarakan sosial boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat sukar dibendung,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – SM

(Visited 215 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button