Jenayah

Lelaki OKU didakwa cabul kanak-kanak di Masjid, mengaku bersalah

SEORANG  lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran yang tular mencabul kanak-kanak di dalam masjid di Batang Kali, Hulu Selangor baru-baru ini, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mahkamah menetapkan 27 Mac ini untuk menjatuhkan hukum bagi menunggu laporan sosial tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengikut pertuduhan, Muhamad Adam Haiqal didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun lapan bulan di Masjid Sungai Masin, Kampung Sungai Masin, Batang Kali pada jam 6.20 pagi, 21 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan, memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi menunggu laporan sosial daripada JKM memandangkan tertuduh adalah pesalah muda berusia antara 18 sehingga 21 tahun.

“Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 ke atas tertuduh selain mencadangkan dia melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan serta tidak mengacau ganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

“Tempat kejadian juga berdekatan kawasan perumahan di mana mangsa tinggal,” katanya.

Sebelum menetapkan tarikh sebutan, Norshila menyoal tertuduh sama ada ahli keluarganya hadir ke mahkamah hari ini bagi membayar jaminan dan tertuduh menjawab tiada.

Susulan itu, Norshila tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Kreadit : Berita Harian.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button