SEORANG lelaki Bangladesh yang ditahan pada 5 November lalu kerana membuat kenyataan berbaur perkauman di media sosial berhubung perayaan Deepavali, dipenjara empat bulan kerana tinggal melebihi tempoh.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Mahkamah Majistret Muar menjatuhkan hukuman itu ke atas Sabbir Hossen, 29, pada 16 November lalu di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas dakwaan menggugat keamanan serta ketenteraman awam dengan klip berbaur perkauman itu.
Pada 7 November lalu, Ayob Khan dilaporkan berkata, warga Bangladesh itu ditahan di Muar berhubung sebuah video yang dimuat naik ke media sosial berkaitan agama Hindu, Muslim dan perayaan Deepavali.
Dalam klip tular Tik Tok yang dimuat naik dengan akaunnya @Sabbir Hossen, seorang pemuda berjanggut dilihat menghina perayaan itu sebagai syirik.
Beliau berkata, ia adalah sambutan orang kafir dan meminta orang ramai tidak mengikutinya kerana mereka yang meraikan Deepavali tidak sembahyang pada pagi hari manakala umat Islam akan bersolat dahulu ketika sambutan Hari Raya. – FMT