Jaguh perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menepati ramalan melangkah ke pusingan ketiga pada Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo, Jepun selepas menewaskan pemain kurang ternama dari Portugal, Bernado Atilano hari ini.
Dia menjadi satu-satunya pemain perseorangan negara yang masih meneruskan perjuangan selepas beberapa pemain peserorangan kecundang awal tidak berdepan tugas rumit menjinakkan Atilano dengan keputusan 21-9, 21-13.
Kemenangan itu membolehkan Zii Jia yang turun selaku pilihan kelima kejohanan bakal berdepan pemain China, Zhao Jun Peng di pusingan ketiga.
Jun Peng mara selepas menyekat kemaraan pemain nombor satu perseorangan lelaki dari India, Kidambi Srikanth dengan 21-9, 21-17.
Turut mengiringi Zii Jia ialah pasangan beregu wanita selaku pilihan ke-10 menerusi gandingan Pearly Tan-M.Thinaah yang menewaskan pasangan dari India, Treesa Jolly-Pullela Gayatri 21-8, 21-17.
Gandingan Tan-Thinaah yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham itu akan berdepan pilihan kelima dari Jepun, Matsuyama Nami-Shida Chiharu di pusingan ketiga.
Dua pasangan beregu lelaki turut melangkah ke suku akhir ialah pilihan keenam Aaron Chia-Soh Woi Yik yang menewaskan pasangan dari Taiwan, Liu Ching Yao-Yang Po Han 22-20, 21-18.
Bagaimanapun, beregu utama negara itu akan berdepan sesama sendiri dengan gandingan Goh Sze Fei-Nur Izuddin selepas pasangan itu menewaskan gandingan dari Ireland, Josua Magee-Paul Reynolds 21-13-21-12.
Sementara itu satu lagi pasangan beregu wanita turut melangkah ke pusingan ketiga ialah gandingan Vivian Hoo-Lim Chiew Sin yang menang percuma ke atas gandingan dari Kanada, Rachel Honderich-Kristen Tsai.
Bagaimanapun pasangan itu akan berdepan tugas rumit berdepan pasangan dari Korea Selatan yang juga pilihan ketiga, Lee So Hee-Shin Sheung Chan di pusingan ketiga selepas mengalahkan gandingan dari India, Pooja Dandu-Sanjana Santosh 21-15, 21-7.
Terdahulu beregu campuran negara menerusi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang juga pilihan kelapan mara ke pusingan ketiga selepas mengalahkan beregu dari Israel, Misha Zilberman-Svetlana Zilberman 21-6, 21-5.
Turut ke pusingan ketiga ialah gandingan Goh Soon Huat-Shervon Lai Jemie yang menang ke atas gandingan dari England, Mairs Gregory-Jenny Moore 21-13, 21-18. – SM