Agama

Lebih 700 peserta tadarus dirai

KANGAR 24 Mac – Lebih 700 peserta tadarus dari seluruh Negeri Perlis diraikan dalam Majlis Tadabur dan Khatam Al-Quran 1446H/2025, yang berlangsung di Masjid Muhammadi Sungai Adam, Jejawi.

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis tersebut.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengerusi Pertubuhan Khidmat Wanita Negeri Perlis (PERWANIS), Datuk Hajah Mastika Junaidah Husin.

Turut hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor, serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin.

Majlis ini dianjurkan dengan kerjasama antara PERWANIS, Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Cawangan Perlis, MAIPs, JAIPs, serta Majlis Kebajikan Negeri Perlis, sebagai satu inisiatif memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan masyarakat Islam.

Dalam ucapan alu-aluannya, Datuk Hajah Mastika Junaidah Husin menyatakan bahawa sebanyak 76 kumpulan tadarus melibatkan seramai 1,121 peserta dari seluruh Negeri Perlis telah menyertai majlis ini. Mereka terdiri daripada wakil Parlimen Arau, Parlimen Kangar, Parlimen Padang Besar, serta Persatuan Wanita.

Menurut beliau, kumpulan tadarus ini telah memulakan bacaan sejak awal Ramadan dan berjaya mengkhatamkan Al-Quran pada minggu kedua dan ketiga bulan Ramadan.

Sebagai tanda penghargaan, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyaksikan sesi pengurniaan cenderahati kepada wakil peserta daripada pelbagai kawasan yang mengambil bahagian.

Sebagai rekod, PERWANIS Negeri Perlis merupakan sebuah organisasi yang komited dalam memperkasa wanita melalui program pembangunan dan khidmat masyarakat. Penganjuran majlis ini bukan sahaja mengukuhkan ukhuwah Islamiah, tetapi juga menegaskan peranan wanita dalam memartabatkan nilai-nilai Islam di peringkat negeri.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button