Lebih 7 jam Guan Eng beri keterangan kepada SPRM
BEKAS Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberi keterangan ebih tujuh jam kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini.
Guan Eng tiba di ibu pejabat SPRM itu pada pukul 12.40 tengah hari dan dilihat meninggalkan lokasi yang terletak di Putrajaya itu kira-kira pukul 7.40 malam.
Dia yang ditemani peguam yang juga Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dipanggil ke ibu pejabat SPRM buat kali kedua berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion.
Kali pertama Guan Eng dipanggil ke ibu pejabat SPRM adalah pada Rabu. Sebelum itu Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow telah dipanggil hadir ke SPRM Pulau Pinang untuk memberi keterangan juga berkaitan projek berkenaan.
Laporan media menyebut, SPRM kini dalam fasa akhir menyiapkan terhadap siasatan projek itu. Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu, yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai, adalah termasuk di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).-SM