Lebih 4.6 juta pelancong masuk Thailand setakat Ogos
Pelancong dari Malaysia mendahului senarai
SEKTOR pelancongan Thailand mencatatkan kedatangan lebih 4.6 juta pelancong dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Menurut Gabenor Pelancongan Thailand (TAT) Yuthasak Supasorn, rakyat Malaysia mendahului senarai ketibaan pelancong antarabangsa ke negara itu.
Sejak Thailand melonggarkan sekatan Covid-19 Supasorn berkata, sejumlah 4,635,418 ketibaan antarabangsa direkodkan dari 1 Januari hingga 31 Ogos lalu.
Supasorn berkata,dalam tempoh lapan bulan pertama, rakyat Malaysia mendahului senarai ketibaan pelancong antarabangsa ke Thailand.
“Seramai 647,648 rakyat Malaysia telah melawat Thailand diikuti India (449,236), Laos (276,924), dan Singapura (242,220),” katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh itu juga seramai 2,596,319 pelancong tiba melalui Lapangan Terbang Suvarnabhumi.
Manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket (719,886) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang Bangkok (313,520) masing-masing menerima pelancong dari luar, katanya.
Sementara itu, seramai 223,776 pelancong masuk ke negara gajah putih itu melalui pusat pemeriksaan sempadan darat Sadao.
“Ini diikuti Nong Khai (129,699), Sa Kaeo (101,031), Sungai Kolok (75,238), Padang Besar (73,055), Betong (70,182), dan Mukdahan (51,803),” katanya.
Thailand menetapkan sasaran ketibaan 10 juta pelancong asing pada awal tahun ini ketika kerajaannya mula melonggarkan sekatan Covid-19.
Thailand turut mensasarkan untuk menarik lebih 1 juta pelancong sebulan pada musim akan datang dari Oktober hingga Disember.
Antara destinasi pelancongan paling popular di Asia, Thailand dikunjungi hampir 40 juta orang pada 2019.
Bagaimanapun, industri pelancongan negara itu hampir merudum akibat pandemik Covid-19 sehingga memaksa kerajaan memperkenalkan syarat kemasukan yang ketat dan mahal. – SM