Nasional
Lebih 3,000 beri solidariti kepada Najib di Putrajaya
DI SEBALIK larangan supaya tidak menyertai perhimpunan, namun difahamkan sekitar 3,000 orang menyertai Himpunan Solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di pekarangan Istana Kehakiman, di Putrajaya pagai tadi.
Turut hadir adalah pemimpin dari Perikatan Nasional (PN) dan UMNO.
Mereka termasuk, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, penyokong Pas, Bersatu, UMNO serta ahli-ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz serta Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Hadir sama di pekarangan Istana Kehakiman ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Antara Ahli Parlimen yang hadir pula ialah Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Misbahul Munir Masduki.
Mahkamah Rayuan hari ini mendengar rayuan Najib berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Ia berdasarkan dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum menyokong permohonan tersebut.
Pendengaran yang pada asalnya dijadualkan pada 5 Disember tahun lalu akan dimulakan pada jam 9 pagi di hadapan panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.