Nasional

Lebih 20,000 pelajar IPT siapsiaga bantu mangsa banjir

Pelancaran Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mensasarkan lebih 20,000 pelajar daripada institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) akan menyertai Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin yang dilancarkan malam tadi.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, sasaran tersebut dijangka mencapai matlamat selepas pelajar telah kembali semula ke kampus dalam usaha membantu kesiapsiagaan menghadapi bencana terutama fasa peralihan Monsun Timur Laut, November ini.

Menurutnya, tahun lalu KPT mampu mengumpul seramai 20,000 sukarelawan IPT walaupun ketika itu pelajar tidak berada di kampus kerana menghadiri kuliah melalui Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara dalam talian.

“Bagi tahun ini saya mengharapkan lebih ramai sukarelawan dalam kalangan pelajar IPTA/IPTS dapat menyertai Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin.

“Jika tahun lalu adalah seramai 20,000 dan tahun ini saya jangkakan lebih dari itu kerana pelajar sudah kembali ke kampus.

“Penyertaan mereka amat penting untuk memberi bantuan sewaktu bencana selain itu juga ia dapat mendidik pelajar agar prihatin kepada masyarakat dan menghulur bakti kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program KPT Prihatin -Tuah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Sejahtera bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di sini malam tadi.

Noraini Ahmad dan Sulaiman Md. Ali bersama mahasiswa yang menerima perantiSiswa di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka.

Menurut Noraini, Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin yang dilancarkan itu akan diselaraskan dengan program sukarelawan yang dikendalikan oleh Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia seluruh negara agar lebih terancang dan teratur.

Ujarnya, beliau memberi jaminan sukarelawan IPT berada dalam kesiapsiagaan dan akan digerakan pada bila-bila masa terutama dalam menghadapi bencana banjir yang diramal berlaku pada fasa peralihan Monsun Timur Laut pertengahan November ini.

Sementara itu beliau berkata, KPT telah menerima kira-kira 292,777 permohonan PerantiSiswa Keluarga Malaysia sehingga semalam.

Menurutnya, kerajaan juga telah bersetuju supaya tablet atau pun peranti ini diberikan terus kepada mahasiswa tanpa perlu dipulangkan.

“Jadi, kepada para pelajar yang belum memohon, kita masih buka permohonan untuk fasa kedua sehingga 30 September 2022 ini. Tinggal beberapa hari sahaja lagi. Cepat-cepatlah memohon,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button