NasionalNegeri

Pekebun kecil getah peroleh RM4,500 sebulan sekeluarga menjelang 2025 – RISDA

PIHAK Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan memastikan setiap pekebun kecil memperoleh purata pendapatan kolektif RM4,500 sebulan sekeluarga menjelang tahun 2025.

Pengarah RISDA Perlis, Nor Afzami Isa berkata, ini selaras dengan objektif Model Perancangan Strategik RISDA (MPSR) Tahun 2021-2025.

Beliau berkata, RM1,500 daripada aktiviti kebun getah, RM2,500 daripada aktiviti keusahawanan dan RM500 daripada lain-lain hasil.

“Kini di Perlis terdapat 435 Usahawan Bimbingan RISDA yang giat aktif dalam menjalankan aktiviti perniagaan dalam bidang masing-masing iaitu dalam sektor makanan, perkhidmatan, pembuatan dan pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Terbuka Keluarga RISDA Negeri Perlis 2022 di Kangar, petang semalam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke majlis berkenaan. Baginda juga berkenan untuk merasmikan ‘Hevea Lounge’ jabatan berkenaan.

Kira-kira 300 orang pekebun kecil dan Usahawan Bimbingan RISDA Perlis hadir di majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Nor Afzami juga berharap agar para pekebun kecil getah di negeri Perlis terus kekal dalam memastikan kebun-kebun getah tanam semula adalah mengikut Amalan Pertanian Baik (GAP) dan diurus dengan baik sehingga boleh mengeluarkan hasil menjelang tempoh 4 1/2 ke 5 tahun.

“Pastikan kebun-kebun getah matang ditoreh bagi membantu meningkatkan pengeluaran getah negara,” katanya.

Tambahnya, inisiatif dan kaedah sistem penyampaian berkesan kepada masyarakat luar bandar khususnya pekebun kecil getah di negeri Perlis itu dianjurkan bertujuan untuk memastikan para pekebun kecil menerima maklumat yang cepat dan tepat berkaitan peranan dan fungsi RISDA dan Kumpulan RISDA Holdings (KRH). – SM

(Visited 315 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button