Lawatan rasmi Zambry ke Iraq bermula hari ini
MENTERI Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan melakukan lawatan sulungnya ke Iraq mulai hari ini (23 Ogos) hingga Jumaat (25 Ogos) atas jemputan rakan sejawatannya, Timbalan Perdana Menteri Iraq bagi Hal Ehwal Antarabangsa dan Menteri Luar Negeri Dr Fuad Hussein.
Dalam lawatan itu, Zambry dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas pemimpin Iraq dan mengadakan pertemuan dua hala dengan Fuad bagi menindaklanjuti perbincangan yang diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Biro Penyelaras Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada 5 Julai.
“Mesyuarat itu akan memberi peluang terbaik kepada Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah lama terjalin dengan Iraq serta meneroka bidang baharu kerjasama yang mempunyai kepentingan bersama,” kata kenyataan kementerian luar (Wisma Putra) hari ini (23 Ogos).
Zambry juga akan mengambil peluang untuk mengadakan sesi dengan komuniti perniagaan Iraq untuk meneroka potensi ekonomi antara kedua-dua negara, tambah kenyataan itu.
Lawatan Zambry ke Iraq menandakan lawatan rasmi pertamanya ke republik itu sejak memegang jawatan pada 2 Disember tahun lalu. Beliau akan diiringi oleh pegawai kanan kerajaan daripada delegasi kementerian dan perniagaannya. -SM
Baca : Wanita Rusia hilang di Taman Negara Pulau Pinang