SEHARI dua ini kecoh isu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatan rasmi ke Mekah, tetapi tidak dapat bertemu Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.
Apa lagi para penganggur politik seperti Khairy Jamaluddin dan mantan ketua penerangan UMNO, Shahril Hamdan melihat isu ini adalah juadah yang enak di bulan Ramadan.
Ramai lagilah pemimpin politik bertungkus-lumus menebar persepsi bahawa kerajaan Anwar gagal dan perdana menteri ditolak kepimpinannya kerana tidak mesra dengan keluarga diraja berkenaan ketika berstatus pembangkang.
Lebih dalam lagi mereka mencari mangsa iaitu Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir untuk dipersalahkan kerana kononnya insiden berkenaan merupakan kegagalan diplomatik yang memalukan negara.
Mungkin ketika ini penganggur politik ini sedang ketawa gembira kerana dapat “melaukkan” perdana menteri dan menteri luar, tanpa disedari mereka telah meletakkan diri di tahap sebagai ahli politik picisan dan tahap makcik makcik bawang.
Mereka mungkin gembira berjaya menimbulkan kekeliruan dan keraguan terhadap kerajaan ini, bahkan ada yang menelefon saya bertanyakan pandangan profesional.
Sebenarnya apa yang dilakukan adalah sangat tidak bertanggungjawab kerana menyebabkan jentera kerajaan yang ada digunakan untuk menjawab isu yang remeh ini.
Bayangkan para pegawai kementerian dan pejabat perdana menteri terpaksa melayan isu yang tidak membina ini ketika jadual padat perdana menteri di dalam negeri dan luar negara.
Para pegawai yang terbabit terpaksa bersengkang mata menyediakan jawapan kepada isu itu, ketika mereka sendiri tidak sempat untuk melelapkan mata, kerana perlu membuat persiapan lawatan seterusnya.
Lawatan demi lawatan dibuat bukan untuk ‘makan angin’ tetapi demi mengukuhkan hubungan Malaysia dengan dunia luar.
Ini sangat penting untuk mengembalikan keyakinan para pelabur asing untuk masuk kembali ke negara ini, selepas melalui fasa yang cacar merba apabila jawatan perdana menteri berganti tangan tiga kali dalam tempoh sepenggal pemerintahan lalu.
Jika tenaga dan masa para pegawai ini dihabiskan untuk menjawab isu-isu remeh dibangkitkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, apa lagi yang berbaki untuk mereka gunakan bagi menguruskan negara.
Para penganggur politik ini sedar bahawa kerajaan ini tidak dapat digugat kerana mendapat sokongan padu majoriti ahli parlimen, jadi mereka cuba membentuk persepsi negatif dan mencipta kekeliruan.
Baca juga Sempat hadiri beberapa mesyuarat, lawatan PM ke Arab Saudi positif – Anwar Ibrahim
Dalam keghairahan itu mereka terlupa bahawa kesannya akan dihadapi oleh negara dan rakyat sendiri.
Penganggur politik ini hendak dikatakan pembangkang pun tidak, sebab mereka sendiri sudah kalah pada pilihan raya lalu dan parti mereka juga telah ‘reject’ mereka.
Sekurang-kurangnya jadilah ahli politik yang bermaruah dan bertanggungjawab. Bangkitlah isu-isu rakyat. Gerakkanlah usaha membantu rakyat. Nescaya mereka akan lebih dihormati.
Untuk makluman Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pun tidak dapat bertemu Raja Salman ketika lawatan rasminya pada 2021 dan hanya dapat bertemu Putera Mahkota sahaja.
Bagaimanapun laporan yang dikeluarkan diputar-belitkan seolah-olah telah bertemu Raja Salman.
Dua nota diplomatik yang diterima daripada kerajaan Arab Saudi mengesahkan lawatan Anwar ke negara itu minggu lalu akan turut membabitkan kunjungan hormat dengan Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.
Wisma Putra menerima Nota Diplomatik daripada Kedutaan Besar Arab Saudi bertarikh 21 Mac lalu yang mengesahkan tarikh lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi pada 22 hingga 25 Mac.
Bagaimanapun sebagai sebuah negara berdaulat kata putus adalah bergantung kepada Raja Salman. Dan ini jelas menunjukkan tiada isu yang perlu dikecohkan. – SM