Nasional

Lawatan ke AS berjaya tingkatkan profil Malaysia – Perdana Menteri

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan beliau ke Amerika Syarikat berjaya meningkatkan profil negara di persada antarabangsa.

Kata Anwar, lawatan selama empat hari itu turut memberi peluang kepada beliau mengetengahkan pendirian Malaysia berhubung isu global, dan berkongsi dasar dan aspirasi negara.

“Ternyata hasilnya baik, ternyata profil antarabangsa kita telah meningkat. Lanjutan pertemuan dengan rakan-rakan sejawat, saya berpeluang berkongsi pengalaman serta bertukar pendapat dalam isu-isu global dan berkepentingan bersama,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata demikian dalam satu sidang akhbar pada akhir lawatan beliau ke New York untuk menyertai Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78. Perdana Menteri turut menambah, beliau menerima begitu banyak permintaan untuk mengadakan pertemuan di luar sesi UNGA, namun tidak dapat dipenuhi kerana kekangan masa.

“Saya gembira profil antarabangsa Malaysia telah meningkat ke kedudukan yang mengagumkan,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, lawatan itu memberikan peluang kepada Malaysia untuk mengetengahkan isu-isu antarabangsa seperti konflik Ukraine-Rusia, Islamofobia, perubahan iklim dan masalah di Myanmar.

Semasa di New York, Anwar berkata, beliau berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin-pemimpin Turkiye, Iraq, Thailand dan Sri Lanka. Pada masa sama usaha menarik lebih banyak pelaburan dan perdagangan ke Malaysia terus membuahkan hasil melalui pertemuan dengan beberapa syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS).

Anwar telah mengadakan pertemuan dan berinteraksi bersama 15 syarikat terkemuka AS yang tersenarai dalam Fortune 500 termasuk Airbnb, Amazon, Amazon Web Services, Boeing, ConocoPhillips dan Kimberly-Clark di Harvard Club.

Pada acara Invest Malaysia New York yang dihadiri para pelabur pasaran modal ekuiti dan bon dengan nilai aset di bawah pengurusan mencecah AS$40 trilion, Anwar memberi komitmen kerajaan untuk memastikan suasana pelaburan yang kondusif.

Perdana Menteri berkata, beliau gembira dengan keputusannya untuk hadir pada UNGA kali ini walaupun pada awalnya tidak mahu datang kerana pelbagai isu domestik dan kurang yakin akan adanya hasil daripada UNGA itu sendiri.

“Pertama ada isu domestik yang perlu diselesaikan. Banyak perubahan seperti transformasi tenaga, pelan induk perindustrian, Ekonomi Madani, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 dan juga Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Ia sangat berat…mujurlah keadaan jauh lebih baik sekarang,” kata Anwar.

Beliau juga memuji kerja keras kakitangan Kedutaan Malaysia ke AS dan Perwakilan Tetap ke PBB, Kementerian Luar, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan agensi-agensi lain yang terlibat dalam lawatan ini.

Artikel berkaitan > Anwar bertemu pemimpin industri, penggiat pasaran modal di New York

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button