KemalanganNasional

Laporan awal nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, minggu kedua bulan ini

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, laporan awal nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, akan diketahui pada minggu kedua bulan ini.

Loke berkata, data rakaman suara 30 minit dalam komponen “memory puck” kini masih dalam proses analisa.

“Seperti yang telah saya janjikan, laporan awal akan dikemukakan dalam tempoh 30 hari selepas insiden.

“Maka saya menjangkakan laporan awal dapat kita keluarkan pada minggu kedua bulan September,” katanya.

Beliau berkata demikian seperti mana dilaporkan FMT hari ini  dalam sidang media selepas merasmikan kapal persiaran Costa Serena di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Pada masa sama, Loke berkata, pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Florida, bagi mendapatkan bantuan mengekstrak data daripada pengilang peralatan asal (OEM) yang mengeluarkan kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat terbabit, dijangka pulang esok.

Sebelum ini, lebih 10 individu termasuk pihak syarikat penerbangan dan wakil Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan polis ke atas nahas pesawat terhempas berdekatan Elmina pada 17 Julai lalu.

Nahas pesawat persendirian yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina itu mengorbankan 10 individu termasuk Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Mereka terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat itu, manakala dua lagi adalah orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang menggunakan lebuh raya berkenaan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button