Politik

Lantik TPM dari UMNO tanda komitmen Bersatu jaga gabungan PN

UMNO tidak boleh selama-lamanya dijadikan arah menuding jari sebagai parti yang boleh menyebabkan kerajaan terus goyah dan hilang sokongan.

Justeru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu terus menunjukkan komitmen sebagai parti yang mempunyai kuasa dalam kerajaan dan menjaga gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ini termasuklah meredakan suhu panas antaranya dengan UMNO walaupun parti itu menegaskan tidak akan bersama Bersatu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

Langkah yang boleh menunjukkan komitmen Bersatu adalah dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melantik Timbalan Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin UMNO.

Tindakan tersebut pastinya dapat memperbaiki hubungan antara parti dalam gabungan kerajaan terutama memastikan kestabilan dalam mendepani pandemik wabak dan implikasi ekonomi.

“Saya hendak menasihatkan kepada Tan Sri Muhyiddin untuk beliau lihat kembali mengenai komposisi kabinet bagi memurnikan keadaan dan beliau harus mengambil pendekatan tersebut.

“Perlantikan kabinet yang telah dibuat pada bulan Mac 2020 telah diuji selama sembilan bulan dan kita melihat ada beberapa menteri tidak mencapai tahap yang memuaskan dan beliau mesti menggugurkan menteri yang tidak menunjukkan prestasi yang baik.”

Demikian kata Exco Pemuda UMNO Malaysia, Bastien Onn, yang turut menyarankan rombakan kabinet diadakan bagi memurnikan hubungan antara pati dalam PN.

Malah, dalam laporan oleh portal Suara TV itu, beliau turut menyelar tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menggugurkan Tan Sri Annuar Musa daripada Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Kata Bastien, Annuar mempunyai pandangan yang berbeza dengan presiden, namun pemecatannya menunjukkan kepimpinan UMNO seolah-olah tidak meraikan perbezaan pendapat.

“Ia mengukuhkan lagi dakwaan orang ramai khususnya golongan muda bahawa UMNO ini adalah parti yang tidak boleh mempunyai pandangan yang berbeza dengan pemimpin dan boleh diambil tindakan.

“Malah ia akan menjauhkan lagi dengan orang-orang muda yang kebanyakkannya adalah idealis. Kalau kita (UMNO) tidak raikan, maka akan ada parti-parti lain raikan, jadi ia menyebabkan UMNO hilang daya tarikan,” jelasnya yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Segamat. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button