Kumpulan Felda sumbang RM1.16 Juta untuk bantu mangsa banjir
KUMPULAN Felda telah mengambil langkah proaktif dengan melancarkan Misi Bantuan Banjir “Felda Gempur Bersama” yang menyaksikan sumbangan keseluruhan berjumlah RM1.16 juta.
Program ini melibatkan 15 anak syarikat, koperasi, serta badan bukan kerajaan (NGO) yang berganding bahu untuk membantu mangsa banjir yang terkesan di pelbagai kawasan.
Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, bantuan yang disalurkan merangkumi keperluan asas seperti barangan pembersihan, makanan, serta kit persediaan bagi menghadapi banjir. Sumbangan ini akan disampaikan kepada 1,813 keluarga yang melibatkan 496 rumah di kawasan terjejas yang kini dalam proses pemulihan selepas bencana banjir.
“Kami memberi tumpuan kepada 18 Rancangan Felda di Terengganu, Negeri Sembilan, Perak, dan Kedah. Felda Wilayah Raja Alias mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, khususnya di Rancangan Jelai 4 yang melibatkan 117 rumah terjejas. Ini diikuti oleh Seberang Tayor di Terengganu dengan 107 rumah terlibat,” katanya.
Selain itu, sebanyak 15 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka untuk menempatkan mangsa banjir. Situasi ini menjadi lebih mencabar apabila beberapa kawasan seperti Felda Aring (Wilayah Gua Musang), Felda Tersat, dan Mengkawang (Wilayah Terengganu) terputus hubungan akibat banjir besar.
“Keadaan ini menjadikan misi bantuan kami lebih penting. Sumbangan yang kami berikan bukan sahaja untuk bantuan segera, tetapi juga bagi memastikan persediaan menghadapi gelombang banjir yang mungkin berlaku lagi,” ujar beliau.
Datuk Seri Ahmad Shabery berkata demikian pada sidang media perasmian Misi Bantuan Banjir Kumpulan Felda yang diadakan di Menara Felda. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman; Pengerusi MSM Malaysia Holdings Berhad, Datuk Syed Hisham Syed Wazir; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Berhad, Fakhrunniam Othman; Setiausaha Agong PeSPA, Leftenan Kolonel Bersekutu Khamarul Ariffin Zainal, serta ahli lembaga pengarah yang lain.
Antara anak syarikat yang turut menyumbang adalah Felda Plantation Management (FPM) sebanyak RM72,000, Waqaf Felda (RM49,300), FGV (RM60,000), MSM dan Yayasan Felda masing-masing dengan sumbangan RM100,000.
Ahmad Shabery menambah bahawa sebaik sahaja program ini dimulakan, semua entiti terlibat akan segera menuju ke kawasan-kawasan yang terjejas untuk membantu mangsa banjir.
“Kami akan terus komited dalam usaha membersihkan kawasan-kawasan seperti sekolah, rumah, masjid, dan balai raya yang terjejas,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa walaupun banjir kali ini dianggap masih di tahap sederhana, mereka tetap akan memastikan misi pembersihan selesai dengan jayanya.