Nasional

KUIPs perlu terus fokus tingkat sistem pengurusan – Raja Muda Perlis

Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) diharap akan terus memberikan fokus terhadap sistem pengurusannya dengan meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran, tenaga dan persiapan mental bagi mencorakkan sistem pengurusan dan akademik yang baik dalam melahirkan pelajar yang dapat menyumbang bakti kepada bangsa, negeri dan negara.

Kakitangan KUIPs perlu diberikan latihan dan pendedahan secukupnya agar dapat menjalankan tugas dengan baik dan sistematik. Latihan tersebut haruslah komprehensif merangkumi aspek fizikal, jasmani, emosi dan intelek setiap kakitangannya. Dengan adanya latihan ini, mereka akan lebih cekap dan terlatih dalam melaksanakan apa sahaja tugas dan sentiasa bersedia sekiranya diperlukan oleh majikan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Apresiasi Kakitangan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Tahun 2019’ yang diadakan di Auditorium KUIPs, Kampus Seberang Ramai, Taman Seberang Jaya Fasa 3, Kuala Perlis pada petang tadi.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Rektor, Datuk Kaya Bakti Dr. Mohd Radzi Haji Othman serta para kepimpinan tertinggi universiti yang berada di bawah naungan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, sebagai sebuah IPT yang menyumbang secara kritikal terhadap pembangunan dan kemajuan negeri Perlis, pengurusan budaya kerja cemerlang memerlukan kemahiran, strategi dan persediaan mencukupi bagi mewujudkan corak pengurusan yang baik seperti pemilihan kakitangan, latihan dalam pengurusan dan pentadbiran, kerjasama berpasukan, pengurusan masa dan sebagainya.

Menurut Tuanku Raja Muda, kerja secara berpasukan perlu diterapkan di mana kesepakatan merupakan ‘kunci’ utama mencapai kejayaan. Justeru, KUIPs perlu menerapkan ‘budaya’ berkerjasama dan saling membantu di antara satu sama lain.

Baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor juga berharap agar semua kakitangan KUIPs bersatu hati dan tenaga dalam menjayakan agenda universiti dan mengingatkan semua ‘Percayalah, walau sehebat apapun cabaran yang ditempuhi, ia pasti berjaya diatasi jika kita berpadu tenaga dan bersatu hati’.

Antara anugerah yang dikurniakan oleh Tuanku Canselor pada kali ini adalah Perkhidmatan Cemerlang (4), Pendidik Cemerlang (3), Pentadbir Cemerlang (3) dan Staf Sokongan Cemerlang (5).

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button