RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, seni kraf tangan Melayu sentiasa mementingkan keseimbangan antara nilai estetika dan etika dalam setiap hasilan pertukangannya.
Titah Baginda, kesenian di alam Melayu amat mempertimbangkan di antara estetika dan etika, iaitu antara keindahan dan kebaikan di mana, sesuatu seni itu tidak hanya menumpukan kepada keindahan semata-mata, sebaliknya sarat dengan kehalusan dan ketinggian falsafah Islam.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat meluangkan masa melawat pameran seni kraf tangan sempena program ‘Penang Exchange 2022 anjuran Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) yang diadakan di Think City Penang Gat Lebuh China, semalam.
Keberangkatan tiba Baginda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi sama anakanda-anakanda, Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra disambut oleh Presiden MCC, Nik Faiz Nik M. Amin dan ahli majlisnya, Azharudin Ramli.
Baginda seisi keluarga meluangkan masa lebih dua jam bagi melawat sebahagian besar daripada 66 buah gerai pameran dan jualan seni kraf tangan dari seluruh negara.
Penang Exchange 2022 adalah program selama tiga hari yang berlangsung mulai 30 September sehingga 2 Oktober yang melibatkan pelbagai program seperti kraf tangan, pameran dan persembahan kesenian bermatlamatkan untuk promosi artisan tempatan melalui platform pelancongan dan kebudayaan yang dilaksanakan di Think City Penang Gat Lebuh China dan juga Dewan Budaya USM serta Penang Peranakan Mansion, Georgetown.
Di akhir program Raja Muda bertitah, Baginda akan mengambil inspirasi daripada kunjungan tersebut dan berharap agar lebih banyak hasil kerja artisan dari Perlis berjaya diketengahkan di peringkat kebangsaan malahan antarabangsa selepas ini.
Baginda turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor mengadakan perbincangan awal dengan beberapa pihak yang turut serta dalam pameran tersebut bagi melihat prospek menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) pada masa hadapan. – SM