Nasional

KPWKM mahu gubal akta khusus gangguan seksual

SATU akta khsusus akan digubal bagi membanteras gejala gangguan seksual sama ada melibatkan mangsa perempuan mahupun lelaki.

Akta itu penting bagi memastikan masalah gangguan seksual tidak lagi berlaku di mana-mana sekalipun dan setiap individu itu perlu dihormati.

Malah, perkara itu menjadi serius apabila melibatkan pelaku dalam kalangan kakitangan awam ataupun pihak berkuasa yang selalu berdampingan dengan orang awam.

“Saya amat memandang serius kejadian gangguan seksual yang disiarkan media sejak kebelakangan ini.

“Perbuatan terkutuk ini sama sekali tidak boleh dipandang enteng, apatah lagi jika ia melibatkan anggota penguatkuasa.

“Saya juga ingin menegaskan pendirian dan komitmen untuk meneruskan penggubalan sebuah perundangan khusus berkaitan gangguan seksual yang kini drafnya sedang dalam semakan Kerajaan untuk dibentangkan di Parlimen nanti.

“Perundangan khusus ini amat penting dan bersifat saling melengkapi kepada undang-undang sedia ada agar isu gangguan seksual dapat ditangani dengan lebih berkesan dan mampu melindungi mangsa, tanpa mengira wanita mahupun lelaki.”

Demikian kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd. Harun dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dua situasi gangguan seksual melibatkan anggota polis ketika sedang bertugas dalam sekatan jalan raya (SJR).

Sebelum ini tular mengenai anggota polis yang melakukan gangguan seksual terhadap seorang pemandu wanita ketika melalui SJR.

Bagaimanapun, susulan kejadian itu, wanita terbabit bertindak menularkan situasi dilaluinya di laman Twitter.

Selain itu, terdapat seorang anggota polis dilapor meminta maklumat peribadi seorang lagi pemandu wanita dan kemudian bertindak mengganggunya selepas menerusi aplikasi WhatsApp.

Susulan kejadian itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumakan menyiasat kejadian tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Dalam pada itu, Rina bagaimanapun menggesa pihak supaya tidak menjadikan isu berkenaan bagi menyampaikan persepsi buruk terhadap pihak berkuasa.

Sebaliknya menegaskan, insiden itu hanya melibatkan individu tidak bertanggungjawab dan PDRM tidak seharusnya dipersalahkan.

“Saya menggesa PDRM untuk membuat siasatan segera agar mangsa diberikan pembelaan dan pelaku diambil tindakan undang-undang, jika dibuktikan bersalah.

“Dalam mengendalikan isu ini, saya amat berharap agar semua pihak saling menghormati dan tidak mempersoalkan kredibiliti keseluruhan institusi PDRM.

“Pasukan itu banyak berkorban dalam memastikan keselamatan negara. Usahlah kita menghukum ibarat ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’,” katanya.

Tambahnya, orang ramai digesa tampil membuat laporan sekiranya berhadapan dengan sebarang bentuk gangguan seksual, sama ada secara lisan, perbuatan atau melalui pelbagai isyarat oleh pelaku.

KPWKM sedia membantu dan salurkan aduan melalui Talian Kasih 15999 dan Talian Whatsapp 019-26 15999 yang beroperasi 24 jam. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button