Nasional

KPM komited perkukuh penguasaan bahasa Inggeris

Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian saranan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyegerakan inisiatif pengukuhan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid di sekolah.

Menteri Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, ia selaras dengan agenda Reformasi Pendidikan KPM yang turut memberi tumpuan kepada aspek memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuh Bahasa Inggeris sebagai salah satu hala tuju utama pendidikan negara.

“Bagi memacu pengukuhan Bahasa Inggeris, KPM sedang mempertimbangkan beberapa penambahbaikan segera termasuk pengstrukturan semula pusat tanggungjawab yang berkenaan bagi memastikan keberkesanan dan impak inisiatif yang sedang berjalan.

“Peranan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) akan diperluaskan bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan murid.

“Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) memberi penekanan khusus kepada keperluan untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan baik sebagai bahasa ilmu dan komunikasi antarabangsa.

“Dengan penstrukturan semula ELTC secara radikal dijangka akan memberikan impak kepada peningkatan dan penguasaan guru-guru khususnya dari aspek latihan dan pengajaran di dalam kelas.

“Fokus KPM bagi memperkasakan Bahasa Inggeris tertumpu kepada empat (4) inisiatif utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu Highly Immersive Programme (HIP), Dual Language Programme (DLP), Program Peningkatan Kemahiran Bahasa Inggeris di Sekolah Dalam Talian dan Professional Upskilling of English Language Teachers (Pro-ELT). Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) yang optimum di dalam pelantar DELIMA juga kini menjadi peneraju utama dalam peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris dalam
kalangan murid.

“KPM menzahirkan penghargaan atas keprihatian YAB Perdana Menteri terhadap isu-isu yang terkait dengan pendidikan dan akan terus berusaha keras untuk mereformasikan pendidikan negara demi meningkatkan kualiti pendidikan negara,” demikian menurut kenyataan itu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button