Nasional

KPLB serius kaji kadar elaun pelajar tajaan MARA luar negara

Mencari inisiatif bantu untuk ringankan beban kos sara hidup pelajar di luar negara

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang mencari inisiatif yang bersesuaian bagi mengurangkan beban kos sara hidup pelajar dibawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang menuntut di luar negara.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihaknya memandang serius isu tersebut kerana ia melibatkan soal kebajikan dan jumlah pelajar yang ramai. Justeru, pihaknya kini sedang mengatur pertemuan dengan semua pelajar di luar negara bagi sesi libat urus bersama KPLB.

“Jadi pihak MARA sendiri dah ada inisiatif untuk nak lihat berapa sebenarnya amaun yang patut ditambah. Pihak kementerian dan saya sendiri akan berjumpa dengan pelajar-pelajar di United Kingdom tidak lama lagi untuk kita berdialog, nak tanya macam mana sekarang sebabnya kos sara hidup merata tempat di seluruh dunia naik termasuk United Kingdom,” kata Mahdzir.

Tambahnya, hasil sesi libat urus itu nanti akan dirumuskan di peringkat agensi dan kementerian sebelum dibawa untuk perhatian Perdana Menteri.

Pelajar MARA di luar negara. Foto: eWartaMARA

Beliau sebelum ini memaklumkan, satu penelitian semula kadar elaun pelajar luar negara dibawah tajaan MARA akan dibuat susulan kenaikan kos sara hidup pelajar khususnya di United Kingdom dan Ireland.

Sementara itu, KPLB akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOMM) bagi membantu meningkatkan kualiti capaian internet di kawasan luar bandar.

Jelas Menteri KPLB, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pihaknya telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang sering mengalami masalah tersebut terutama di kelas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Ujarnya, sehingga kini terdapat lebih 11,000 kelas KEMAS di seluruh negara dan tidak semuanya mempunyai capaian internet yang baik.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid melancarkan Pelan Strategik Pengurusan Sumber Manusia KPLB 2022-2025 semalam di Dewan Mentari Movenpick Sepang, Selangor. Foto: FB Mahdzir Khalid

“Yang dekat dengan bandar ini mungkin capaiannya baik tapi kalau yang tinggal jauh dari bandar capaian mereka rendah. Maka, kita akan usahakan untuk kita tolong supaya sekolah KEMAS dapat dipertingkatkan, itu maksud saya.

Jadi ada usaha yang kita buat supaya akhirnya kita juga dapat membantu kerajaan untuk membantu meningkatkan capaian Internet di kawasan luar bandar,” tambahnya selepas melancarkan Pelan Strategik Pengurusan Sumber Manusia KPLB 2022-2025 semalam.

Pelan tersebut menggariskan 6 teras strategik yang akan membantu meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan dan budaya kerja yang cemerlang. Turut diraikan pada majlis tersebut seramai 87 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPLB bagi tahun 2021 serta 14 orang pesara. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button