HOSPITAL Pakar KPJ Perlis bakal menjadi Pusat Mamogram yang pertama di negeri ini. Ia dijangka beroperasi selewat-lewatnya pada tiga suku pertama tahun depan.
Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim pada sidang media.
Sebelum itu Rohani merasmikan Sambutan Pink October Peringkat Negeri Perlis anjuran LPPKN Perlis dengan kerjasama Hospital Pakar KPJ Perlis dan Kolej Komuniti Arau di Hospital Pakar KPJ Perlis, Kangar hari ini.
Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Wan Badariah Wan Saad, Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah, Pengarah Perubatan, Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr. Hari Ram Ramayyah dan Pengurus Besar, Hospital Pakar KPJ Perlis, Rosli Hamid.
Rohani berkata, dengan penubuhan Pusat Mamogram ini akan meluaskan jaringan kerjasama LPPKN dan KPJ dalam usaha memberi manfaat kepada komuniti di Perlis.
“Mulai tahun hadapan, tidak perlu lagi ke Alor Setar bagi ujian mamogram,” katanya.
Rohani berharap, usaha dan perancangan ini mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri.
Beliau berkata, sehingga 15 Oktober lalu, seramai 211 wanita negeri ini telah menjalani ujian mamogram.
“Ia bersamaan dengan 84.4 peratus daripada jumlah yang disasarkan bagi tahun 2023 iaitu 250 orang klien,” katanya.- SM