Nasional

KPDNHEP rampas minyak wangi tiruan bernilai RM117,435

BAHAGIAN Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya merampas sejumlah 13,577 unit minyak wangi pelbagai jenama tiruan bernilai RM117,435 dalam serbuan yang dilakukan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Serbuan pada 14 Disember lalu, beberapa dokumen perniagaan disita untuk siasatan lanjut manakala lapan pekerja terbabit dan seorang pemilik perniagaan yang kesemuanya adalah warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam dalam kenyataannya hari ini berkata, operasi yang bermula pada pukul 1.45 petang itu dengan kekuatan seramai empat anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya diketuai Mohd Aizamie Namami.

“Serbuan dilakukan berikutan aduan yang diterima daripada wakil cap dagangan Global Trade Shields (GTS) berhubung penjualan produk wangian pelbagai jenama terkenal.

“Ketika serbuan, seramai lapan orang pekerja sedang membungkus minyak wangi tersebut dipercayai untuk dipasarkan sekitar Semenanjung Malaysia yang dijual secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat sebuah stor simpanan berada di dalam premis tersebut yang menempatkan pelbagai jenis dan jenama produk wangian badan.

Hasil pengecaman awal daripada wakil pihak pengadu juga mengesahkan bahawa kesemua produk tersebut adalah tiruan berdasarkan ciri-ciri yang ada pada pembungkusan minyak wangi terbabit, katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mana-mana orang yang mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang ini, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda seperti berikut:

i. jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi lima belas ribu ringgit bagi bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar;atau

ii. jika orang itu ialah bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau keduaduanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau keduaduanya.

“KPDNHEP ingin memberi amaran kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan termasuklah dengan tidak menjual barangan tiruan bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang tegas di bawah peruntukan undang-undang ini,” jelas beliau.

Katanya lagi, pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati di dalam melakukan pembelian terutamanya secara dalam talian agar tidak mudah terpedaya dengan taktik penjualan barangan tiruan ini serta tidak menyokong penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian dan menjejaskan kesihatan pengguna. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button