BanjirBencana alam

Masakan kaum Sikh untuk mangsa banjir halal, sangat bersih – Zulkifli

MASAKAN kaum Sikh untuk mangsa-mangsa banjir adalah halal, menurut bekas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli yang hadir dan menyaksikan persediaan makanan yang dilakukan oleh masyarakat tersebut di Gurdwara Sahib Petaling Jaya berkata, masyarakat Sikh mengamalkan diet vegetarian sekaligus menyediakan makanan bukan daging kepada mangsa banjir.

“Hukum Muslim memakan makanan daripada bukan Muslim yang bukan ahli kitab adalah dibolehkan selagi mana tidak melibatkan haiwan sembelihan mereka,” jelas Zulkifli.

Beliau yang melihat sendiri proses penyediaan juadah di bahagian dapur sehingga ke meja bungkusan memuji gerak kerja yang kemas serta tahap kebersihan yang disifatkan sebagai sangat bersih.

Zulkifli turut terharu dengan kerjasama tanpa rasa sebarang penat lelah yang ditunjukkan masyarakat Sikh semata-mata bagi menzahirkan semangat membantu yang amat luar biasa.

“Saya amat kagum melihat pengurusan sistem agihan bantuan yang melibatkan pelbagai agama dan bangsa. Semuanya tersusun dan lengkap dengan dokumentasi. Ini amat penting bagi menjamin integriti dan profesionalisme.

“Mewakili Muslim Council of Elders – Malaysia dan Surau Al-Makrifah, saya berbesar hati menyampaikan sumbangan untuk tujuan penyediaan makanan kepada mangsa banjir. Melihat suasana yang penuh muhibah dan harmoni, sewajarnya kita bersyukur menjadi rakyat Malaysia.

Menurut Zulkifli, beliau mengenali agama Sikh melalui konsep “seva” iaitu khidmat sukarela tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Konsep tersebut juga sama dalam Islam iaitu perbuatan yang dilakukan secara “ikhlas” sama ada ibadah khusus mahupun umum yang dilakukan hanya kerana Allah SWT.

“Terima kasih kepada Presiden Gurdwara Sahib Petaling Jaya – GSPJ, En. Awatar Singh Terry dan seluruh Jawatankuasa GSPJ atas jemputan yang disampaikan kepada saya.

“Saya dibawa meninjau proses penyediaan juadah untuk mangsa banjir daripada dapur sehinggalah ke meja bungkusan. Amat bersih dan kemas.

“Atas insiatif saya bermula tahun lalu ketika menjawat jawatan Menteri, konsep “soup kitchen” seperti ini turut dibuat di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan sejak mulanya Perintah Kawalan Pergerakan dan diberi nama Dapur It’am.

“Alhamdulillah, saya dikhabarkan ia masih diteruskan sehingga hari ini,” kata bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu.

Masyarakat Sikh di kawasan itu mula menggerakkan kerja bantuan sejak hari Jumaat yang lalu apabila mendapat berita bahawa banjir telah melanda di sebahagian kawasan.

Masyarakat tersebut berkerja secara bergotong-royong dan mempunyai sukarelawan dari pelbagai bangsa, agama serta pelbagai latar belakang untuk menyiapkan makanan.

Mereka menghantar makanan dalam bentuk yang amat pantas lebih daripada 20 buah trak pikap ke sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang. -SM

 

(Visited 1,133 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button