Nasionalpilihan

Korek pasir muara sungai atasi mendapan pasir

Kerja-kerja mengorek pasir perlu dilaksanakan secara berkala bagi mengatasi masalah muara cetek di jeti Nelayan Klebang Besar dan jeti Nelayan Lereh dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang Datuk Lim Ban Hong berkata, akibat mendapan pasir di sungai berkenaan menyebabkan nelayan terbabit menghadapi masalah pulang ke jeti selepas menangkap ikan sewaktu air surut.

Menurutnya, beliau menerima runggutan daripada nelayan Klebang Besar apabila mereka terpaksa menunggu hampir lima jam di tengah laut sebelum dapat pulang ke jeti setelah air pasang.

Katanya, muara sungai itu mengalami mendapan kesan daripada kerja-kerja penambakan laut di sekitar Klebang hingga ke Limbungan.

“Setelah berbincang dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), perkara ini akan dibawa pada mesyuarat penyelarasan tidak lama lagi.

“Agensi berkaitan akan mengemukakan satu peruntukan kepada Kerajaan Persekutuan serta kementerian berkaitan bagi membolehkan kerja-kerja mengorek mendapan pasir dapat dilakukan di kedua-dua jeti berkenaan,” ujarnya kepada pemberita selepas melakukan lawatan tapak
di jeti Nelayan Klebang Besar di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah LKIM negeri, Darleena Baharudin dan Ketua Unit Pantai JPS negeri, Rohana Osman.

Dalam pada itu Ban Hong berkata, jeti berkenaan akan dinaiktaraf melibatkan kos sebanyak RM75,000 yang telah bermula sejak 19 April lalu dan dijangka siap dalam tempoh 10 minggu.

Katanya, kerja-kerja yang akan dilakukan membabitkan pemanjangan ramp iaitu laluan untuk bot naik turun sepanjang 8 meter dan ditambah kepada 12 meter.

“Selain itu kerja-kerja menggantikan tiang pancang GI sedia ada kepada jenis GI yang disarung pipe HDPE 75mm keseluruhan berjumlah 90 batang serta disusun semula,” ujarnya.

Katanya, kerja-kerja itu perlu dilaksanakan bagi menampung sebelum pemindahan seramai 19 nelayan dari jeti Nelayan Limbungan dan jeti Nelayan Kota Laksamana.

“Kesemua nelayan terbabit tidak lagi dibenarkan menggunakan jeti berkenaan dan telah diarahkan berpindah ke jeti Nelayan Klebang Besar,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button