Konsert Kasih kumpul dana Pusat Pemulihan Dadah
Dua penyanyi terkenal akan mengadakan konsert bagi membantu mengumpul dana untuk menyiapkan fasiliti Rawatan & Pemulihan Dadah Pengasih di Cinta Manis, Bentong, Pahang.
Konsert Kasih Pengasih 2023 akan berlangsung di Auditorium RTM Kuantan pada 1 Julai 2023, jam 8.30 malam hingga 11 malam. Menampilkan barisan artis hebat iaitu kumpulan Iklim, Ameng Spring, Zamani Slam dan Amir Ukays.
Menurut Pemangku Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Hafizi Harun, selain untuk mengumpul dana, konsert ini juga bertujuan mempromosikan Kompleks Pengasih Cinta Manis.
“Objektif konsert ini diadakan adalah bertujuan mencari dana bagi membiayai peralatan dapur, landskap dan kelengkapan rehabs baru Rumah Damai yang akan mula beroperasi dalam masa terdekat.
“Konsert ini juga dianggap sebagai ‘kick starter’ bagi perniagaan sosial Enterprise kami (Pengasih Asia Sdn Bhd) milik Persatuan Pengasih Malaysia.
“Konsert ini diadakan di Kuantan bagi mempromosikan Kompleks Pengasih Cinta Manis di Bentong, Pahang,” katanya.
Konsert Kasih Pengasih 2023 turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, RTM Pahang, Pengasih Cawangan Pahang dan Restoren Baina Nasi Kerabu.
Harga tiket untuk menyaksikan Konsert Kasih Pengasih 2023 bermula dari RM58 sehingga RM3,500. Tiket-tiket boleh didapati menerusi https://ilassotickets.com/. – SM
BACA Dalam tempoh 24 jam, tiket konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota habis terjual