Konsep Payung Tahmah akan terus jadi strategi tangani kos sara hidup
Konsep Payung RAHMAH akan terus menjadi salah satu strategi dalam menggerakkan agenda menangani kos sara hidup rakyat.
Untuk itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkasa pelaksanaan Konsep Payung RAHMAH dalam tahun 2024 dengan melalui perluasan komponen Inisiatif Ihsan RAHMAH Swasta dan Industri.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penglibatan aktif pihak swasta dan industri akan diperkasakan dengan membuka ruang kepada inisiatif dan program yang dirintis dan diperkenalkan sendiri oleh pihak swasta/industri yang berbentuk sumbangan ihsan kepada komuniti termasuk pekerja mereka sendiri di bawah gagasan Payung RAHMAH.
:Ini bermaksud Konsep RAHMAH yang menjadi tema program dan agenda kebajikan kerajaan akan turut diperluaskan kepada program ihsan swasta dan industri dengan idea dan model mereka sendiri berpandukan kepada garis panduan Konsep Payung RAHMAH.
:Ini sejajar dengan nilai IHSAN yang terkandung dalam gagasan Malaysia MADANI. IHSAN dalam konteks Malaysia MADANI ditafsirkan dengan makna peduli dan belas kasihan, iaitu mengasihi ahli keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan anggota masyarakat secara keseluruhan.
“Komponen INISIATIF IHSAN RAHMAH bertujuan untuk memperkasa Konsep Payung RAHMAH melalui pendekatan ‘whole of nation’. Perluasan pendekatan Konsep Payung RAHMAH ini diyakini akan dapat meningkatkan keterangkuman pelbagai pihak sekali gus memanfaati lebih ramai anggota masyarakat.
“Setelah berjaya memperkenalkan lima Inisiatif di bawah Konsep Payung RAHMAH pada tahun 2023 iaitu Jualan RAHMAH, Menu RAHMAH, Bakul RAHMAH, Kafe RAHMAH dan Pakej RAHMAH, sasaran KPDN adalah untuk merintis lima INISIATIF IHSAN RAHMAH dalam tahun 2024,” katanya dalam kenyataan sempena amanat tahun baharu.
Bersempena dengan Majlis Amanat Tahun Baharu KPDN, Armizan telah melontarkan Empat Teras Strategik kementerian bagi tahun 2024 iaitu Memperkukuh ketangkasan penguatkuasaan; Memacu kemampanan ekonomi domestik; Membina daya upaya hak dan tanggungjawab kepenggunaan; dan, Merekayasa NACCOL sebagai pemangkin pendekatan “whole of nation” dalam menangani kos sara hidup.
Katanya. bagi menggerakkan empat teras strategik tersebut, Sesi Permukiman KPDN akan berlangsung pada 12 hingga 14 Januari 2024 bagi membuat penilaian dan mengenal pasti nilai tambah kepada program dan inisiatif sedia ada sekali gus menggariskan pendekatan-pendekatan baharu serta strategi komunikasi yang lebih efektif dan berkesan. – SM