Komuniti harus saling menyokong dalam mewujudkan kesejahteraan – Raja Muda Perlis
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha atau sebarang inisiatif keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat bukan hanya tanggungjawab individu atau organisasi, bahkan juga tanggungjawab masyarakat bersama sebagai satu komuniti yang saling menyokong.
Baginda bertitah, Inisiatif memperbaiki taraf hidup rakyat ‘ibarat memberi joran untuk memancing, bukan semata-mata memberikan ikan’ yang berbentuk bantuan seperti bengkel kemahiran, bengkel pemasaran, mesin jahit, jentera pertanian, benih tanaman, laptop, peralatan ‘baking’ dan kiosk boleh membantu menyokong penduduk kampung menjana pendapatan tambahan wajar diberi keutamaan dan diperluaskan.
“Saya menyeru dan menggesa lebih banyak syarikat korporat dan pertubuhan mengikut jejak Sinar Harian serta Yayasan Bank Rakyat yang tampil dengan inisiatif bermanfaat seperti ini”.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Jelajah Sinar Untuk Rakyat yang berlangsung di Masjid Jamek Beseri, Perlis.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani.
Majlis ini telah dianjurkan oleh Sinar Harian dan Yayasan Bank Rakyat yang merupakan penaja utama, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), KPJ Perlis dan Pengurusan Masjid Jamek Beseri.
Jelajah Sinar Untuk Rakyat ini diserikan lagi dengan sumbangan bakul rezeki yang bernilai RM150 berupa barangan keperluan harian melalui aktiviti kayuhan yang melibatkan 200 orang penerima terdiri daripada golongan yang kurang bernasib baik dan asnaf yang terpilih.
Program ini turut memanfaatkan lebih 200 orang pelajar dan komuniti setempat dengan pengisian Ceramah Motivasi – Jelajah Potensi Diri yang bertujuan untuk memperkasakan para pelajar dan masyarakat terutamanya buat mereka yang sedang mencatur kerjaya dan masa depan.
Tuanku Raja Muda Perlis menzahirkan rasa suka cita kerana tirai tahun 2025 yang baru dibuka empat hari ini diraikan dengan program komuniti yang bukan sahaja mengeratkan silaturahim rakyat, bahkan turut memanjangkan bantuan kepada golongan memerlukan dan berharap agar golongan yang kurang bernasib baik di Perlis ini terus disantuni dan diperkasakan seterusnya mengeluarkan mereka daripada golongan asnaf serta menjadi contoh kepada asnaf yang lain.
Terdahulu daripada itu Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli dan menyantuni tiga keluarga asnaf yang terpilih pada edisi kali ini. Baginda menympaikan sumbangan MAIPs kepada para asnaf yang berupa wang tunai RM 700, Kits MAIPs Peduli beserta beras fidyah bagi menampung keperluan harian golongan kurang bernasib baik ini.
Asnaf yang terpilih pada kali ini adalah Rohaizat Saeidin, 61 tahun dari Kampung Lembah Biak, Rohani Kassim, 72 tahun dari Kampung Batu 8 dan penerima yang terakhir iaitu Saad Sulaiman, 70 tahun dari Beseri.
GALERI