KesihatanNasional

Kluster Kg Matang: “Dengarlah nasihat kami” – Dr. Nor Azimi

BERBUIH agaknya mulut memberi nasihat kepada masyarakat dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 yang menjadi wabak menyerang kita semua. Macam-macam nasihat dan kata-kata peringatan diberikan oleh pihak berwajib termasuk Perdana Menteri, menteri, Ketua Pengarah Kesihatan serta Pengarah Kesihatan.

Sedihnya, kata-kata nasihat yang diberikan itu umpama mencurah air ke daun keladi. Di dalam grup-grup WhatsApp mesti ada yang berkongsi kisah Kluster Kampung Matang di Hulu Terengganu.

covidSetakat ini, dikatakan bahawa inilah kluster terbesar di Hulu Terengganu dan berdasarkan siasatan menunjukkan adanya rentas negeri sebelum Hari Raya Adilfitri baru-baru ini.

Tidak cukup setakat melakukan rentas negeri, ada pula yang membuat ziarah raya dan kunjung mengunjung melibatkan keluarga besar.

Cuba para pembaca SUARA MERDEKA bayangkan, 19 individu dikesan positif dari hanya dua buah keluarga! Habis sahaja tempoh beraya, yang bekerja masuk kerja. Tanpa mereka sedar, menjangkiti rakan sekerja pula.

Lebih merisaukan, menurut Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus, sudah ada jemaah masjid yang dijangkiti Covid-19.

Akhirnya jangkitan daripada wabak pembunuh ini bersambung-sambung dan anda boleh sambung sendiri cerita ini…, kata Dr. Nor Azimi.

Kluster Kg Matang telah merebak ke tiga kampung iaitu Felcra Bukit Kepah, Kampung Tengkawang dan Kampung Pulau Kudat dan ia masih aktif.

“Kita rasa tak apa lagi kalau jangkitan dalam famili sahaja sebab pematuhan Prosedur Standard Operasi (SOP) dalam famili diakui sangat sukar.

“Namun jika melibatkan beberapa famili, jiran tetangga dan pejabat-pejabat, akhirnya merebak hingga ke beberapa buah kampung lain. Rasa kesal dan nak marah sangat sebenarnya,” ujar Dr. Nor Azimi.

Menurut catatan Dr. Nor Azimi, seramai 127 kes positif dikesan dari Kluster ini yang telah merebak hingga ke generasi kelima.

Katanya lagi, kontak rapat sahaja seramai 725 orang. Ini tidak termasuk saringan bersasar yang melibatkan beberapa buah kampung tadi. Masih ada 975 sample sedang menunggu keputusan.

“Jika keadaan begini berterusan dan kluster baru tumbuh bagai cendawan, bilakah masanya kita boleh kawal semua kluster itu serentak?

“Jika keadaan begini berterusan, mampukah kita melandaikan lekuk epid dalam masa dua minggu ini?” soal Dr. Nor Azimi yang bukan sekadar satu lontaran soalan tetapi untuk kita semua mengambil iktibar dan berfikir sejenak akan kebenaran kata-kata beliau.

Kisah-kisah begini sering diceritakan oleh Dr. Nor Azimi  untuk memberi bukan sahaja peringatan dan nasihat bahkan pengajaran kepada masyarakat bahawa jika PEMATUHAN SOP dipandang ringan dan berterusan dilanggar, inilah akibat yang akan kita semua tanggung.

“Jika hendak  berbuat sesuatu, FIKIR ORANG LAIN. JAGA ORANG LAIN. JANGAN FIKIR DIRI KITA SAHAJA,” catat Dr. Nor Azimi.

Pagi semalam, Dr. Nor Azimi memaklumkan bahawa beliau turun ke Hulu Terengganu bermesyuarat dan meninjau aktiviti saringan bersasar yang dibuat di Felcra Bukit Kepah yang sebahagian adalah Kluster Kampung Matang.

Kata Dr. Nor Azimi , jam baru menunjukkan pukul 10.30 pagi tetapi panas sudah membahang.

Ceruk kampung begini mana ada dewan berhawa dingin. Petugas kesihatan berpeluh-peluh dengan muka merah merang dengan memakai pakaian atau suit PPE. Penduduk pun sama juga, berpeluh rejak bawah kanopi. Kanak-kanak menangis dicalit hidung, cerita Dr. Nor Azimi.

Jadi, “TOLONG fahami kesusahan KITA SEMUA jika pandemik COVID-19 berterusan begini. JANGAN PENTING DIRI SENDIRI, akibatnya orang lain yang terkena mudaratnya.

“KAWALAN KENDIRI sangat penting. Jika kita kekal DUDUK RUMAH kecuali ada urusan penting maka kita tidak akan dijangkiti atau menjangkiti orang lain. Insya-Allah. Pencegahan itu sangat lebih baik dari merawat. TOLONG dengar nasihat kami,” kata Dr. Nor Azimi.

Kesimpulannya di sini, kita semua janganlah degil. Tidak ada siapa yang hebat kalau dah terkena jangkitan Covid-19. Mencegah itu lebih baik daripada merawat dan kita semua pastinya tidak mahu berada di ICU…Nauzubillahhiminalzalik. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button