KKM diminta turut dapatkan pandangan pengusaha vape dalam menggubal akta
PENGUSAHA vape di negara ini meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya turut melibatkan mereka dalam perbincangan bagi mewujudkan akta baharu untuk mengawal selia semua jenis rokok dan produk tembakau termasuk rokok elektronik serta vape di negara ini.
Pembabitan para pengusaha vape itu penting supaya mereka dapat memberikan input-input yang diperlukan agar akta yang bakal digubal itu dapat mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak.
Pengarah Urusan Nanostix Innovation Sdn. Bhd. (NISB), Shahabudeen Jalil dalam satu kenyataan berkata, pandangan mereka dalam penggubalan akta itu penting kerana vape merupakan industri yang besar di negara ini dengan sumbangan sekitar RM2 bilion setahun kepada ekonomi negara.
Katanya, mereka sebagai pengusaha amat mengalu-alukan apa juga cadangan untuk mengawal selia penjualan vape termasuk mewujudkan akta khusus berkaitan dengannya, namun ia mestilah tidak menjejaskan perjalanan industri itu.
Sebab itu katanya, mereka berharap supaya KKM turut mengambil kira pandangan para pengusaha vape dalam merangka akta tersebut supaya ia tidak memberi kesan negatif kepada industri sebaliknya membantu ia berkembang selari dengan dasar dan aspirasi kerajaan.
“Kami sebagai pengusaha produk dan cecair vape amat berharap supaya kami turut dilibatkan dalam perbincangan dalam mewujudkan akta ini. Ia supaya kami dapat memberikan input-input penting berkenaan industri vape di negara ini dan apabila akta itu diluluskan dan dilaksanakan ia memberi manfaat kepada semua,” kata Shahabudeen Jalil.
Semalam media melaporkan pelaksanaan duti eksais ke atas cecair dan gel bernikotin dalam rokok elektronik atau vape yang sepatutnya bermula 1 Januari lalu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 telah ditangguhkan.
Arahan penangguhan itu dikatakan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan ekoran KKM sedang dalam proses menggubal satu akta baharu untuk mengawal selia semua jenis rokok dan produk tembakau termasuk rokok elektronik serta vape.
Difahamkan Rang Undang-Undang bagi mewujudkan aktara baharu itu akan dibentangkan pada sidang Parlimen yang akan datang.
Dengan perkembangan terbaharu ini pihak Kementerian Kesihatan berpendirian pelaksanaan duti eksais ke atas cecair dan gel bernikotin untuk rokok elektronik dan vape wajar ditangguhkan terlebih dahulu sehingga akta yang bakal digubal ini diluluskan.
Sehubungan itu Kementerian Kewangan bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan duti eksais tersebut ke satu tarikh baharu pada tahun ini.
Pada Bajet 2022 yang dibentang oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan bersetuju untuk mengenakan duti eksais ke atas cecair dan gel bernikotin pada rokok elektronik dan vape mulai bulan ini.
Duti eksais yang bakal dikenakan itu adalah pada kadar RM1.20 per milimeter (ml) bertujuan mengawal selia rokok elektronik dan vape secara menyeluruh.
Shahabudeen Jalil berkata, antara faktor yang perlu diambil kira dalam penggubalan akta itu ialah sumbangan industri vape kepada ekonomi dan pendapatan negara melalui duti eksais yang bakal dilaksanakan selain mewujudkan banyak peluang pekerjaan serta melahirkan ramai usahawan terutama golongan bumiputera.
“Mengikut kajian, industri vape kini dilaporkan bernilai RM2.27 billion dengan penglibatan 3,300 perniagaan. Industri inijuga majoritinya diusahakan oleh golongan bumiputera dan telah berjaya mewujudkan lebih daripada 15,000 peluang pekerjaan.
“Pakar ekonomi pula meramalkan industri vape tanah air mampu mencecah RM10 billion dalam masa beberapa tahun dari sekarang jika menerima suntikan rangsangan daripada kerajaan termasuk melalui mekanisme kawal selia yang bersesuaian,” katanya.
Katanya, para pengusaha vape sentiasa menyokong apa sahaja usaha kerajaan untuk mewujudkan peraturan dan mengawal selia industri tersebut termasuk penggubalan akta baharu itu.
Cuma beliau berharap, sebelum semua itu dilaksanakan pandangan para pengusaha juga turut diambil kira kerana ia membabitkan perniagaan mereka secara langsung.