Kilang diarah tutup 7 hari, 21 pekerja positif Covid-19
JASIN 14 Februari – Gara-gara 21 pekerjanya disahkan positif Covid-19, sebuah kilang memproses kanta kaca di kawasan Perindustrian Merlimau, Melaka diarah menutup operasi selama seminggu bermula sejak semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, arahan penutupan sementara kilang tersebut adalah dibuat mengikut Akta Percegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Menurutnya, kesemua pekerja terbabit disahkan positif selepas melalui ujian RT-PCR (PCR) yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan kilang pada 5 Februari lalu.
Katanya, pekerja yang positif Covid-19 adalah terdiri daripada pekerja tempatan dan kesemua mereka sedang menjalani kuarantin.
“Keputusan yang dibuat untuk menutup sebahagian operasi kilang selama seminggu dibuat hasil penilaian setelah berbincang dengan pihak pengurusan kilang.
“Ini kita buat bagi mengelak daripada kluster kilang ini tidak merebak ke penempatan penduduk hingga boleh menimbulkan satu kluster baharu,” ujarnya selepas melakukan lawatan mengejut di kilang tersebut hari ini.
Menurut Muhamad Akmal, kilang tersebut tidak ditutup sepenuhnya sebaliknya operasi logistik dan pengimportan masih dibenar berjalan tetapi secara mininum.
Beliau menambah, jika pihak kilang dapat mengawal penularan kes berkenaan, pihak kilang boleh memohon kepada pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mendapat pertimbangan dibuka semula sepenuhnya untuk beroperasi.
Kilang tersebut katanya, mempunyai seramai 333 pekerja di mana 80 daripada jumlah tersebut adalah pekerja warga asing. – SM