Nasional

Ketua Pembangkang: Masih percayakah lagi Anwar pada Mahathir?

YA! que sera sera my way. Maksudnya, “apa yang terjadi, terjadilah”.

Benarlah seperti mana tajuk lagu dendangan Doris Day, penyanyi Amerika Syarikat pada 1956 itu, yang sering diungkapkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa masa hadapan di luar kawalan Presiden PKR itu.

Beliau akhirnya tersungkur walaupun sebelah kaki sahaja untuk ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri kelapan (PM-8).

Nasib dan rezeki lebih menyebelahi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Related Articles

Begitupun, Anwar tidak boleh dipersalahkan. Beliau juga insan biasa yang ada hati dan perasaan – setia, polos dan berpegang kepada janji bab PM-8 itu.

Bukan sekali PM ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad berjanji untuk menyerahkan jawatan PM kepadanya. Dan bukan sekali, bahkan masuk kali ketiga pertemuan empat mata Anwar dengan negarawan terbilang itu. Dan seluruh rakyat Malaysia maklum akan nasibnya.

Ikuti tarikh-tarikh berikut dan baca intipatinya:

1) 27 September 2018
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri Malaysia seterusnya.
“Itu adalah janji saya,” kata Dr Mahathir menjawab satu soalan pada Forum Tahunan Kedua Perniagaan Global Bloomerg yang dikendalikan wartawan, Fareed Zakaria.

Dr Mahathir berkata, beliau setuju menjadi perdana menteri kerana Anwar berada dalam penjara apabila kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran.

“Saya berjanji bahawa saya tidak akan kekal lama sebagai perdana menteri. Mungkin dua tahun, mungkin lebih, mungkin kurang,” kata beliau.

2) 3 November 2018
– Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir berkata, beliau tidak akan berganjak daripada keputusannya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas tempoh dua tahun mentadbir negara.
Hal ini meskipun terdapat desakan daripada akar umbi Bersatu supaya beliau kekal sebagai perdana menteri.
“Saya berjanji akan meletak jawatan. Saya akan pegang janji saya. Adakah anda ingat sebarang perkara yang saya tidak menepati janji saya. Saya satu-satunya ‘diktator’ yang meletakkan jawatan,” beliau memberitahu sidang akhbar di Putrajaya.
Dengan berseloroh sambil melirik ke arah Anwar, kata Dr Mahathir:
“Tak ada. Saya cuma dua tahun sahaja. Dua tahun atau… tak tahu lah, kalau dia (Anwar) bagi izin dua tahun setengahlah,” katanya.

3) 10 Disember 2019
– Dr Mahathir Mohamad berjanji akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada bakal penggantinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, biarpun bekas timbalannya itu berhadapan dakwaan serangan seksual baharu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata beliau tidak akan menyerahkan jawatan itu sebelum sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan dianjur Malaysia November tahun depan tetapi mungkin akan bersedia selepas itu.

4) 14 Februari 2020
Di Langkawi, Dr Mahathir menafikan terbabit dalam sebarang kegiatan atau kumpulan yang cuba menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikannya sebagai Perdana Menteri.
Kata beliau, perkara itu turut dijelaskannya kepada Anwar dalam pertemuan mereka di Putrajaya pada 13 Februari dan mengakui kenyataan dikeluarkan Presiden PKR itu mengenai peralihan kuasa adalah benar.
Tegasnya, beliau masih memegang janji akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) November ini.

Malangnya setelah tercetus ketegangan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada malam 21 Februari lalu pun, Anwar masih juga menganggap ketegangan yang berlaku dalam mesyuarat itu sebagai biasa.

Tambah mengejutkan. kata beliau, apa yang penting bagi dirinya ialah tiada pihak yang mempertikai tentang proses peralihan kuasa akan berlaku antara beliau dengan Dr Mahathir.

Dan sehinggalah tiga hari kemudian iaitu tanggal 24 Februari, Anwar terpaksa berpijak di bumi nyata apabila Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan kurang seminggu, Muhyiddin mengangkat sumpah Perdana Menteri kelapan (1 Mac).

Justeru, apabila timbul cakap-cakap siapa akan menjadi Ketua Pembangkang yang baharu, dengan menamakan Anwar atau Dr Mahathir, takkanlah lagi para penyokong Anwar, ahli-ahli dan pemimpin PKR, DAP serta Parti Amanah masih mahu `beri muka’ kepada bekas Perdana Menteri itu.

Setelah `cacing naik ke mata’, ditambah saiz parti kecil seperti Bersatu, masakan Anwar mahu terjatuh lagi dan lagi dan lagi dalam lubang yang sama.

Apatah lagi, dalam Dewan Rakyat kelak, barangkali sebilangan kecil orang Bersatu sahaja antaranya Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz (Jerlun) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) akan berada dalam blok pembangkang.

Maka pasti agak janggal untuk Dr Mahathir selaku Ketua Pembangkang untuk berdepan sebahagian besar anak-anak buahnya di sebelah kerajaan.

Sesiapa yang faham, mengenali karektor Dr. Mahathir, tentu akur beliau akan terus berpegang pada prinsip My Way nyanyian Frank Sinatra – lakukan ikut cara saya seperti mana bait-bait lirik lagu itu, ‘I did it my way’.

Dan Anwar pastinya tidak akan `tersadung’ lagi.

Que sera sera – “apa yang terjadi, terjadilah”, barangkali tiada lagi dalam kamus politik beliau.

Pendek kata, ‘masa hadapan akan dicuba habis-habisan di bawah kawalannya” terutama dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button