Nasionalpilihan

Ketua ajaran sesat ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ ditahan

POLIS menahan seorang wanita yang juga merupakan ketua kepada ajaran sesat ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ kira-kira pukul 1.10 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintenden Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan polis pada 29 Ogos lalu oleh seorang pengadu yang melihat wanita berkenaan dalam satu video di YouTube bertajuk ‘Mimpi Perang Dunia (Bertemu Rasulullah).

“Video tersebut berdurasi selama lebih satu jam itu dimuat naik pada 30 Januari lalu dan mendapat 50,000 tontonan.

“Pengadu turut membuat carian di Facebook dan mendapati wanita tersebut mengaku sebagai Ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) aktif memuat naik video di Facebook dan YouTube menceritakan perihal peperangan Dunia Ketiga di laman sosial,” katanya.

Menurut Basri, siasatan awal polis menerusi keterangan pengadu mendapati wanita ini mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah SWT, Malaikat dan Nabi Muhammad SAW.

Jelasnya, wanita ini juga mengaku sebagai Ketua Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) dan mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat yang lain.

“Dalam video ini juga menyatakan sesiapa yang menyakiti atau menghalang dirinya menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah SWT.

“Kenyataan dalam video ini boleh dianggap menghina kesucian agama Islam dan menimbulkan keresahan awam,” katanya.

Susulan itu, wanita berkenaan yang berusia 39 tahun telah ditahan kira-kira pukul 1.10 pagi tadi untuk membantu siasatan.

Ujarnya, terdapat enam laporan polis diterima berkaitan isu yang sama dibuat di lima balai Polis yang berasingan.

“Suspek sebelum ini pernah membuat laporan polis dan menafikan yang dia terlibat mewujudkan kumpulan ajaran sesat termasuk tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya.

Selain tangkapan, pihaknya turut merampas lima telefon bimbit, resit pemindahan wang sebanyak RM84,742 dan sepasang telekung putih yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa membuat Facebook Live.

Tambahnya, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 7 September depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button