Kesemua ahli parlimen hadir jamuan makan malam Azmin nyata sokongan kepada Tun M
KESEMUA ahli parlimen yang hadir pada majlis makan malam membabitkan parti kerajaan dan pembangkang menyatakan sokongan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membentuk kerajaan baharu.
Difahamkan Dr. Mahathir tidak hadir pada jamuan makan malam itu yang dihadiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Terdahulu para pemimpin berkenaan telah mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi memaklumkan kerajaan Pakatan Harapan tidak lagi mendapat sokongan majoriti wakil rakyat.
Sehubungan itu satu gabungan baharu sebagaimana diuar-uakan Pakatan Nasional dibentuk bagi membentuk kerajaan baharu.
Dalam pada itu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut mengadap Yang di-Pertuan Agong esok.
Anwar malam ini turut mengesahkan ada percubaan untuk menggoncang kerajaan Pakatan Harapan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan puak dari PKR.
“Sekarang kita sedang menunggu maklumat lanjut tetapi ada cubaan untuk menurunkan kerajaan Pakatan yang melibatkan bekas sahabat kita Bersatu dan sebahagian kecil daripada PKR yang telah mengkhianati kita.
“Mereka telah bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong petang ini tetapi tidak ada lagi pengumuman,” kata Anwar ketika menjawab pertanyaan selepas menyampaikan khutbah semasa acara agama di kediamannya di Bukit Segambut malam ini.
“Persoalan mengenai kerajaan baru … Saya belum menerima maklumat lengkap,” katanya dalam khutbah yang disiarkan secara langsung di laman Facebook PKR.