Mahkamah

Kes bicara Zahid Hamidi: Soalan sama ditanya pada saksi ke-90

Masalah rakaman audio semasa prosiding, sambung petang

SELEPAS lebih dua minggu prosiding perbicaraan membabitkan Presiden UMMO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditangguhkan, kes perbicaraan bersambung hari ini dengan tetap menampilkan saksi pendakwa yang sama iaitu Mejar Mazlina Mazlan.

Mazlina adalah saksi ke-90 yang masih belum dilepaskan dan dibebaskan oleh mahkamah yang bersidang di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Kes bermula pada pukul 10 pagi bersambung dengan pemeriksaan balas oleh Peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Beliau memberitahu mahkamah hanya ada satu dua soalan balas ke atas saksi.

Terdahulu Ahmad Zaidi dalam pemeriksaan balas telah bertanyakan pelbagai soalan kepada saksi yang pernah menjadi Setiausaha Eksekutif kepada Ahmad Zahid, banyak melakukan kesilapan dalam menjalankan tugas selama tujuh tahun berkhimat serta memberi jawapan bercanggah.

Selama Ahmad Zahid menjawat jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri, Mazlina telah menggunakan cek-cek milik Yayasan Akal Budi bagi membayar bil-bil kad kredit Ahmad Zahid dan menggunakan cop tandatangan ke atas cek-cek berkenaan selain daripada memegang buku cek akaun peribadi Ahmad Zahid.

Ahli Parlimen Bagan Datuk ini berhadapan dengan 47 pertuduhan termasuk pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Saksi, Mazlina, dalam prosiding perbicaraan terdahulu telah disoal tentang cek-cek yang ditandatangani oleh Ahmad Zahid (pre signed) dan pagi, soalan yang sama dikemukakan oleh Ahmad Zaidi ke atas Mazlina.

Peguam: Saya tidak menyebut nombor cek-cek secara spesifik tetapi secara umum. Boleh setuju dengan saya, saya katakan cek-cek itu adalah pre signed cheques:
Saksi: Tak setuju Yang Arif.
Peguam: Tiada lagi pemeriksaan balas daripada saya.

Ketua pendakwaan, Datuk Raja Rozale Raja Toran bangun untuk meneruskan soalan.

Soalan-soalan yang dikemukakan oleh beliau lebih menjurus ke arah soalan pengulangan untuk mendapatkan jawapan yang sama daripada saksi.

DPP: Sebelum ini rakan bijaksana saya ada bertanya, cek pre sign dan Mejar Mazlina tidak setuju cek-cek itu pre signed. Kenapa?
Saksi: Cek-cek ditandatangani Datuk Seri di hadapan saya.

DPP: Bila?
Saksi: Bayar kad kredit dan penyata tuntutan dan diperlukan mengikut arahan Datuk Seri.

DPP: Pada masa itu Mejar Mazlina nampak Datuk Seri tandatangan atas cek tersebut?
Saksi: Saya nampak Yang Arif.

DPP: Daripada masa itu ada Datuk Seri katakan apa-apa pada Mejar Mazlina?
Saksi: Tak ada Yang Arif.

DPP: Ada apa-apa Datuk Seri tanya tentang cek-cek Akal Budi (Yayasan Akal Budi) yang digunakan?
Saksi: Tak ada Yang Arif.

DPP: Sebelum ini soalan balas rakan bijakdana saya ada cadangkan Mejar Mazlina bawa cek, selit dengan dokumen lain untuk Datuk Seri tandatangan. Kenapa tidak setuju?
Saksi: Saya bawa cek, letak dalam folder atas sekali untuk Datuk Seri tandatangan.

DPP: So letak cek atas fail ada kemungkinan Datuk Seri tak sempat teliti cek-cek?
Saksi: Datuk Seri sempat teliti.

DPP: Ini berkaitan dengan cadangan rakan bijaksana, Datuk Seri tak pernah bagi kebenaran untuk guna cek Akal Budi dan Mejar Mazlina jawap tak setuju. Kenapa?
Saksi: Kerana Datuk Seri membenarkan.

DPP: Kamu pasti?
Saksi: Pasti.

DPP: Datuk Seri tak pernah bagi kebenaran tandatangan cop. Kenapa?
Saksi: Kerana telah diberi kebenaran dahulu.

DPP: Ada atau tidak pada bila-bila masa lepas Datuk Seri bagi kebenaran guna cek Akal Budi bayar kad kredit, guna cop tandatangan, tarik balik kebenaran atau arahan tersebut?
Saksi: Tak ada Yang Arif.

DPP: Sebelum ini Mejar Mazlina ditanya tentang statement, ada cadangan sorok penyata kad kredit, bank statement dan kamu tidak setuju. Kenapa?
Saksi: Kerana setiap kali aju sek untuk Datuk Seri tandatangani, saya bawa sekali dengan penyata pembayaran.

DPP: Selain daripada bawa sekali nak tandatangan cek-cek, ada tak pada masa lain, bawa penyata kad kredit, bank statement pada Datuk Seri?
Saksi: Tak ada.
(Soalan kali ini, kurang jelas pada pemahaman Hakim dan DPP menjelaskan maksud soalan … apart from… Ada tak lain-lain dokumen yang ditunjukkan Datuk Seri semak selain penyata bank)
Saksi: Ada. Buku cek Yayasan Akal Budi dan buku cek Maybank.

DPP: Apa dia semak?
Saksi: Chart mark.

DPP: Ada apa-apa Datuk Seri katakan lepas semak buku cek?
Saksi: Tak ada Yang Arif.

DPP: Itu sahaja soalan.

Soalan dari pihak pendakwa disambung oleh Lee Kheng Fatt dengan mengulang soalan yang pernah ditanya.

Ketika ini Peguam Ahmad Zahid meminta mahkamah ditangguhkan sebentar kerana mahu memastikan tidak masalah teknikal disebabkan mahkamah pagi tadi menggunakan peralatan rakaman audio yang baharu.

Pada hemat Peguam Hamidi Mohd. Nor, audio rakaman saksi tidak stabil, tenggelam timbul atau on and off.

Rakaman itu ujar Hamidi penting dan tidak sepatutnya ada masalah teknikal atau hearing cutting on and off.

Hakim memutuskan mahkamah bersambung petang nanti bagi menyelesaikan masalah teknikal. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button