BeritaPendidikan

UniMAP terus dapat pengiktirafan

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah mendapat banyak anugerah dan pengiktirafan di peringkat negara mahupun antarabangsa dari segi pengurusan universiti, penyelidikan, kajian dan sebagainya.

Antaranya ialah ‘QS Star Rating’ (3 Bintang), SETARA / D-SETARA (Tier 5), MyMoheS (5 Bintang), ‘The Golden Europe Award for Quality & Commercial Prestige’, ‘Best Enterprise Award, The New Era Award of Technology, Innovation & Quality’ dan ‘European Award for Best Paractices’.

UniMAP juga berada dalam carta ‘THE Young University Rankings 2020’ yang dikeluarkan oleh Times Higher Education pada Jun lalu iaitu dalam kelompok 151 hingga 200 universiti terbaik di dunia yang berusia di bawah 50 tahun.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Canselor selepas berkenan berangkat menyempurnakan ‘Majlis Menandatangani Statut UniMAP’ yang diadakan di Bilik Tuanku Canselor, Bangunan Canselori Kampus Alam UniMAP Pauh Putra pada tengahari tadi.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor, Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad serta pihak pengurusan tertinggi universiti.

Menurut baginda, ‘Mahasiswa hari ini perlu bersedia dalam pelbagai aspek terutama ketika dunia menghadapi banyak perubahan berikutan COVID-19 dan segala kemungkinan yang tidak dijangkakan.’

‘Dalam berhadapan pelbagai perubahan yang sukar dijangka, transisi global dengan teknologi telekomunikasi dan Internet menuntut banyak cabaran supaya mahasiswa bersikap proaktif dengan perkembangan pendidikan. Banyak pekerjaan konvensional berasaskan tenaga manusia semakin beralih kepada teknologi, internet dan digital, data raya dan Kecerdasan Buatan (AI) memerlukan anjakan perubahan bakat yang drastik dalam kalangan mahasiswa.

‘Oleh itu, setiap mahasiswa hendaklah berani mencuba sesuatu yang baharu meskipun berbeza dari bidang pengajian seperti perniagaan atau keusahawanan. Namun, ia tidak menafikan minat dan bakat seseorang dalam bidang yang diceburi, tetapi harus memperlengkapkan diri ke arah global untuk terus bersaing selepas bergraduat. Jangan hanya menjadi ‘job seeker’ sebaliknya menjadi ‘job creator’ tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra

Untuk rekod, Universiti Malaysia Perlis ataupun ‘UniMAP’ dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) telah ditubuhkan pada 2 Mei 2002 sebagai sebuah IPTA yang ke-17 di Malaysia, bertujuan melahirkan jurutera berkemahiran tinggi bagi memenuhi dan menyokong pelan industri negara, selain memberi alternatif kepada pelajar yang cenderung kepada pembelajaran secara praktis. Pada 1 Februari 2007, KUKUM telah dikenali sebagai Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi penjenamaan semula universiti.

(Visited 276 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button