Datuk Mas Ermieyati Samsudin kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas Mahkamah Pilihan Raya hari ini mengekalkan kemenangan Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Kemenangan Mas Ermieyati dikekalkan selepas Hakim Abu Bakar Katar menolak petisyen yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi itu, Abdul Hakim Abdul Wahid untuk membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU-15.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas pihak pempestiyen gagal membuktikan wujudnya unsur rasuah sewaktu kempen PRU15 berlangsung.
Menurutnya, pempetisyen bergantung kepada sogokan wang oleh Pengerusi Armada Bersatu, Akmal Zahin Zainal Zahir kerana kegagalan membawa individu itu hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan.
“Itu meninggalkan kelompongan kepada kes pempetisyen. Begitu juga pemberian wang sogokan oleh Noorashimah Nordin (bekas setiausaha sulit responden) gagal dibuktikan dan saksi pendakwaan ke-12 tidak dapat mengesahkan perbuatan tersebut.
“Mahkamah berpendapat responden tidak mempunyai pengetahuan atau memberi kebenaran kepada Akmal Zahin untuk hadir di premis dan memberi wang sogokan,” ujarnya
Abu Bakar berkata, tiada keterangan Akmal Zahin terlibat secara aktif atau terang-terangan berkempen di Masjid Tanah termasuklah Noorashimah.
Katanya, responden hanya mengetahui kehadiran Noorashimah pada saat akhir di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taboh Naning melalui pengiringnya, dalam konteks ini Noorashimah bukan ejen responden.
“Jumlah kehadiran tetamu dianggarkan antara 400 hingga 500 orang pada jamuan di Markas Pas Pasir Gembur pada 3 Disember 2022 tidak dapat mempengaruhi jumlah majoriti undi diperoleh Mas Ermieyati iaitu sebanyak 4,411 undi,” katanya.
Berdasarkan alasan-alasan tersebut ujarnya, mahkamah berpendapat pempetisyen gagal membuktikan melampaui keraguan yang munasabah responden atau ejennya melakukan sogokan wang atau penjamuan.
Berdasarkan peruntukan Seksyen 36 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya, mahkamah memutuskan responden telah dilapor pilih dengan sewajarnya sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah dalam PRU15.
Mahkamah turut memerintahkan pempetisyen membayar kos sebanyak RM50,000 kepada pihak responden.
Pada 3 Januari lalu, Abdul Hakim memfailkan petisyen itu di Mahkamah Pilihan Raya Melaka bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU-15 lalu.
Bagaimanapun, mahkamah menolak petisyen yang difailkan calon BN bagi menafikan kemenangan Mas Ermieyati.
Mahkamah Persekutuan pula memerintahkan petisyen berkenaan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.
Pada PRU15, Mas Ermieyati mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan selepas menewaskan tiga calon lain iaitu Abdul Hakim, Mutalib Uthman (MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (PEJUANG).
Mas Ermieyati memperoleh 25,604 undi, Abdul Hakim (21,193), Mutalib (7,445) dan Handrawirawan (507) sekaligus mendapat undi majoriti 4,411 dan menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah bagi penggal ketiga. – SM