Penumpang kereta api mewah dari Singapura akan singgah Perlis disambut dengan pelbagai tarikan istimewa
KUALA PERLIS 16 Okt. – Perkhidmatan kereta api mewah ‘Essential Malaysia Journey’ oleh E & O Express akan singgah di Stesen Bukit Keteri di Perlis pada bulan November 2024 yang akan datang ini. Perjalanannya bermula dari Stesen Woodlands di Singapura.
Mengikut maklumat awal yang diperolehi dan tertakluk kepada perkembangan mutakhir, antara tarikh-tarikh tersebut adalah pada 5, 12, 19 dan 26 November depan yang dijangka tiba sekitar jam 1.30 petang dan berlepas semula pada 6.30 petang ke destinasi seterusnya.
Lima jam ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelancong dengan mengadakan lawatan ke tempat-tempat menarik di negeri Perlis mengikut beberapa pilihan yang ditawarkan.
Wang Kelian View Point, Gua Kelam, Pekan Kaki Bukit serta beberapa kawasan tarikan pelancong sedia ada di Perlis lain akan menjadi tarikan utama kerana terpilih menjadi salah satu produk persinggahan baharu tersebut.
Di Banjaran Nakawan mereka difahamkan akan menaiki basikal dan berkayuh dari satu lokasi ke lokasi yang lain di sekitar Wang Kelian bagi menikmati udara segar dan biodiversiti semula jadi serta jika bernasib baik dapat melihat hidupan liar seperti ‘Stump-Tailed Macaque’, Ungka Tangan Putih, Lutung Gelap, dan Kera Ekor panjang.
Mereka juga mempunyai pilihan untuk mencuba mencorak batik sendiri di Batik Inderawasih dan menikmati Roti Jala dan Roti Bakar di Rumah Kupi sebelum berkumpul semula di Stesen Keretapi Bukit Keteri dan meneruskan perjalanan.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullailmenurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas Baginda berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli dan Kayuhan Santuni Komuniti Kraf yang juga bersempena Festival Kraf Utara 2024 di sekitar Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Haji Ramli, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis Mohd Shahrir Mohamad Ramli,dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Kayuhan amal ini telah dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
Di akhir program tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan untuk mengadakan lawatan ke Pameran Produk Kraf Batik Tanah Liat di bawah Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti PPKK Kuala Perlis dan menyantuni peserta Destinasi Asnaf Zakat MAIPs di Taman Desa Asnaf Batu Bertangkup.
Baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada asnaf-asnaf terpilih yang terpilih terdiri daripada Aziz Mansor, 76 tahun dari Kampung Tengah Seberang Ramai, Yahaya Aziz, 68 tahun dari Kampung Seberang Tok Pi dan Zainol Sulaiman, 72 tahun dari Kampung Seberang Alor.
Setiap daripada mereka menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah bagi menampung keperluan masing-masing.