Kerana Diaz, Melaka cadang pusat latihan angkat berat di Bemban
Sebuah pusat latihan khusus untuk sukan angkat berat akan dibangunkan di Bemban bagi menggantikan garaj kereta milik Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah di Kampung Kesang Tua, dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Datuk Hasan Rahman berkata, pihaknya akan berbincang dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali bagi memohon sebidang tanah di sekitar Bemban.
Menurutnya, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam menyuarakan hasrat tersebut sewaktu melawat garaj kereta tempat latihan atlet Filipina, Hidilyn Diaz yang meraih pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara angkat berat wanita kelas 55 kilogram (kg).
“Tun (Mohd. Ali) ada bisik kepada saya agar memohon sebidang tanah untuk menggantikan garaj kereta dan bina pusat latihan sukan angkat berat untuk melahirkan ramai atlet sehebat Diaz.
“Saya akan berbincang mengenai perkara tersebut di peringkat DUN Bemban sebelum satu permohonan sebidang tanah untuk pertimbangan Ketua Menteri,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Mohd. Ali membuat lawatan mengejut melihat gelanggang latihan atlet selama 11 bulan, sebelum Diaz berangkat ke Jepun.
Mohd. Ali yang juga bekas Ketua Menteri Melaka meluangkan masa hampir satu jam dan turut diberi penerangan oleh Ahmad Janius berkenaan sesi latihan Diaz di rumahnya.
Mengulas lanjut, Hasan menambah, pusat latihan itu boleh dibina bersebelahan Kompleks Belia dan Sukan negeri yang akan dibina tidak lama lagi di Jasin Bestari menerusi peruntukan bernilai RM10 juta.
“Diaz kini menjadi kebanggaan penduduk di Kesang Tua dan ramai tidak menyangka rumah milik Ahmad Janius ini menjadi tempat dia berlatih selama lebih 11 bulan,” ujarnya.
“Kejayaan atlet tersebut secara tidak langsung menjadikan Kampung Kesang Tua kini terkenal di seluruh dunia dan sudah pasti ramai atlet muda mahu mengikut jejak langkah untuk menggegar di Olimpik,” jelasnya.