Kerajaan rangka pelan jangka masa pendek tangani kekurangan BPT
KERAJAAN Negeri Sembilan meminta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri membuat pembelian dan permohonan bekalan tambahan beras putih tempatan (BPT).
Exco Kanan negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata ini berikutan 20 tan metrik BPT atau 2,000 paket 10 kilogram (kg), untuk inisiatif intervensi pengagihan BPT, yang bermula hari ini, tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk dalam tempoh satu minggu.
“Saya menerima laporan bahawa bekalan ini akan kehabisan petang ini. Program ini perlu dilakukan secara berkala termasuk dengan penglibatan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi memastikan bekalan beras mencukupi untuk orang ramai.
“Kita akan cuba sedaya upaya kerana kekurangan ini berlaku di seluruh negara.
Kami yakin keadaan ini dapat diselesaikan.
Jika kita membekalkan sekurang-kurangnya 40 tan metrik BPT seminggu, ia akan menyelesaikan banyak masalah,” katanya kepada pemberita, selepas meninjau jualan BPT di pusat operasi FAMA, di sini.
Beliau juga berkata tiada kenaikan harga beras putih tempatan dilaporkan di seluruh negeri, dan meminta orang ramai tidak melakukan pembelian panik, kerana kekurangan makanan ruji itu hanya sementara.
Punca lain kekurangan bekalan BPT untuk jangka masa sederhana adalah disebabkan oleh senario kenaikan harga input pertanian seperti baja dan racun perosak.
Bagi mengimbangi kekurangan bekalan BPT ini dalam pelan jangka masa pendek, maka kerajaan melakukan intervensi pengedaran BPT melalui Pusat Operasi FAMA dan outlet peruncitan FAMA.
”Pengedaran dan jualan untuk tempoh sebulan adalah sebanyak 400,000 KG/ 400 metrik tan. Manakala harga jualan kepada pengguna adalah sebanyak RM26.00 untuk paket 10 KG.
“Hala tuju seterusnya adalah dari segi pemasaran dan pengedaran dapat dilaksanakan melalui pembekalan BPT ke outlet peruncitan FAMA dan Program Jualan Agro Madani,” tambahnya lagi.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang kerana bekalan beras putih tempatan dijangka pulih tidak lama lagi.
“Nasihat saya kepada pengguna, beli BPT hanya untuk kegunaan keluarga, kerana kami akan sentiasa menambah bekalan.
Beliau percaya isu kekurangan bekalan BPT ini akan dinoktahkan apabila penyebab keterjejasan pengeluaran beras berjaya diselesaikan, dan pelan intervensi pengedaran BPT ini dapat dioptimumkan dalam kalangan rakyat. -SM
Baca : Kerajaan ambil langkah agresif cegah manipulasi harga beras putih tempatan